Hamas dakwa berjaya tawan tentera Israel dalam pertempuran di Gaza
Jurucakap sayap bersenjata Hamas semalam berkata, pejuangnya berjaya menangkap askar Israel semasa pertempuran di Jabalia di utara Gaza pada Sabtu, walaupun tentera Israel menafikan dakwaan itu.
Menurut laporan Berita Harian, jurucakap sayap bersenjata Hamas tidak menyatakan berapa ramai askar yang diculik, dan tidak menunjukkan bukti dakwaan itu.
“Pejuang kami berjaya memperdaya tentera Israel masuk ke dalam serangan hendap di dalam terowong sebelum kami melancarkan serangan.
“Tentera Israel berundur dengan meninggalkan semua anggota pasukan mereka yang mati, cedera, dan ditangkap,” kata Abu Ubaida, jurucakap Briged Al Qassam, dalam satu mesej yang dirakamkan dan disiarkan oleh Al Jazeera awal Ahad.
Bagaimanapun, tentera Israel hari ini menafikan dakwaan sayap bersenjata Hamas itu.
“IDF (Pasukan Pertahanan Israel) menjelaskan bahawa tidak ada pertempuran di mana seorang pun askar diculik,” kata tentera dalam satu kenyataan.
Dalam mesej video hamas selama empat minit, Abu Ubaida turut mengecam kerajaan Israel kerana meneruskan dasar balas dendam dan pemusnahan yang membuta-tuli lagi tidak masuk akal, sehingga menyebabkan kegagalan terbaru operasi tentera Israel di Jabalia dan Rafah.
Katanya, pejuang Hamas melakukan berpuluh-puluh serangan terhadap IDF dalam lebih dua minggu pencerobohan darat Israel ke atas Rafah dan Beit Hanoon.
Neliau juga mendakwa tentera Israel sedang menggali mayat tawanan di Gaza hanya untuk propaganda peribadi Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, dengan menggambarkan penemuan mayat tawanannya sebagai pencapaian ketenteraan dan moral.
Komen oleh Abu Ubaida itu dibuat beberapa jam selepas potensi untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata Gaza yang diketengahkan pada Sabtu.
Seorang pegawai yang mengetahui perkara itu berkata keputusan diambil untuk menyambung semula rundingan minggu depan selepas ketua agensi perisikan Mossad Israel bertemu ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) dan perdana menteri Qatar.
Sumber yang enggan dikenali itu berkata ia telah diputuskan bahawa ‘dalam minggu akan datang rundingan akan dibuka berdasarkan cadangan baharu, yang diketuai oleh pengantara, Mesir dan Qatar, dengan pembabitan aktif AS’.
Seorang pegawai Hamas kemudiannya menafikan laporan media Israel bahawa rundingan itu akan disambung semula di Kaherah pada Selasa dan memberitahu Reuters, ‘tiada tarikh ditetapkan’.
Selepas lebih tujuh bulan perang di Gaza, negara pengantara bergelut untuk mendapatkan kejayaan, dengan Israel mencari pembebasan tebusan yang diculik Hamas dan Hamas pula untuk menamatkan perang dan membebaskan tawanan Palestin di Israel.
Hampir 36,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan 80,420 vedera dalam serangan Israel sejak perang bermula lebih tujuh bulan lalu, kata kementerian kesihatan Gaza.
Israel memulakan operasi sebagai tindak balas kepada serangan pejuang Hamas yang di selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh kira-kira 1,200 orang dan merampas lebih 250 tebusan, menurut pengiraan Israel.
Dalam serangan terbaru semalam, 10 penduduk Palestin terbunuh termasuk kanak-kanak, ketika berlindung di sekolah rendah Nazla di kem pelarian Jabalia selepas beberapa serangan oleh tentera Israel.
Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh dan 130 cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata kementerian kesihatan Gaza.
Mereka yang cedera, termasuk kanak-kanak, dibawa ke Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza City, Gaza selepas tentera Israel menyerang bangunan sekolah Al-Nazla, tempat penduduk Palestin berlindung di kawasan kejiranan Saftawi.