GEMPA BUMI: SEORANG MAUT DI IRAN
TEHRAN – Sekurang-kurangnya seorang terbunuh susulan gempa bumi berlaku berdekatan gunung tertinggi di Iran, pada awal pagi Jumaat.
Keadaan itu sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat setempat apabila mereka berlari keluar meninggalkan kediaman masing-masing.
Berdasarkan Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) gegaran biasa berkekuatan 4.6 magnitud berlaku pada jam 00.48 am berhampiran bandar Damavand, terletak 55 kilometer (km) dari timur Tehran.
Wartawan AFP yang berada di tempat kejadian melihat penduduk ibu negara itu keluar dari bangunan ke jalan dan taman berdekatan untuk menyelamatkan diri.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Kianoush Janapour, berkata gegaran itu mengakibatkan seorang maut dan tujuh lagi cedera.
Sehubungan itu, beliau memohon supaya rakyat yang terbabit bertenang dan mengikut garis panduan keselamatan disediakan.
Mengikut laman sesewang USGS, gempa melanda pada kedalaman 10 km.
Pusatnya berada di selatan Gunung Damavand, iaitu gunung dengan ketinggian 5,671 meter yang juga puncak tertinggi di Iran.
Sumber: Berita Harian