WhatsApp Image 2025-01-02 at 11.35.55
Uncategorized

GELOMBANG KEDUA: SERANTAU MUSLIM TURUN KELANTAN BANTU MANGSA BANJIR

1 Jan 2025 – Sejumlah 100 orang penduduk terjejas banjir di tiga jajahan negeri Kelantan menerima bantuan kecemasan bencana banjir sumbangan Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) sejak semalam.

Banjir yang melanda daerah Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai itu berlaku selepas hujan lebat lebih 32 jam sejak Ahad lalu menyebabkan lebih 800 penduduk terpaksa menumpang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Misi Kemanusiaan Bantuan Bencana Banjir Kelantan 2.0 ini diketuai Special Outreach Coordinator Serantau Muslim, Kapten Bersekutu (PA) Idzham Hadi Sidik dan dianggotai dua orang kakitangan Serantau Muslim iaitu, Encik Iskandar Hamdan serta Encik AbdelRahman Reda Maamoun Elsaid Seyam. Turut membantu Pengerusi Sahabat Keselamatan Tanah Merah Machang Jeli, Che Adnan Che Kadir dan sukarelawan Rody Sofian Buang.

Bantuan Kecemasan ini telah mendapat kebenaran dan kerjasama padu dari pihak Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kelantan dan Negeri Melaka.

Sejumlah 30 pek makanan dan kebersihan diri diserahkan kepada penduduk Kg Lawang Tanah Merah, 40 pek di Desa Rebana Machang dan 30 lagi di Kampung Chenulang Kuala Krai.

Dalam pada itu, tujuh keluarga di Kampung Bukit Tandak Rantau Panjang yang turut terjejas banjir pada gelombang pertama menerima bantuan tambahan daripada Serantau Muslim.

Penerima sumbangan ketika ditemui menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Serantau Muslim yang prihatin dan sanggup datang dari Melaka bagi membantu mereka.

Ketua Kampung Lawang Mohd Faizul berkata, sumbangan itu dapat meringankan beban 30 mangsa banjir yang terkesan dalam kejadian bencana itu.

Bagi mangsa banjir Kg Kelisa, Mohd Asri beliau amat berterima kasih dengan Bantuan kecemasan daripada NGO Serantau Muslim.

Untuk rekod sebelum ini, Serantau Muslim telah menyumbang sejumlah 400 bungkusan makanan dan barangan kebersihan diri kepada mangsa banjir Kelantan gelombang pertama.

Bantuan ini adalah program bantuan kecemasan bencana terakhir sekaligus menjadi penutup aktiviti prihatin Serantau Muslim bagi tahun 2024.