WhatsApp Image 2025-04-07 at 09.33.50
Uncategorized

GBSS SAMBUT BAIK KESEDIAAN MALAYSIA MEMPERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA DENGAN SYRIA

KENYATAAN MEDIA
GABUNGAN BINA SEMULA SYRIA (GBSS)

Gabungan Bina Semula Syria (GBSS) menyambut baik dan mengalu-alukan kesediaan Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dengan kerajaan baharu Syria, seperti yang dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui panggilan rasmi beliau kepada Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa.

Langkah ini disifatkan sebagai isyarat penting yang membuka semula ruang kerjasama yang lebih menyeluruh antara kedua-dua negara, merangkumi sektor pelaburan, pendidikan, pertanian, teknologi dan tenaga. Ia juga memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap peranan diplomatik dan kemanusiaan di peringkat antarabangsa, khususnya dalam menyokong negara-negara yang sedang melalui proses pemulihan pascakonflik.

Bagi GBSS, pendirian Malaysia ini selari dengan harapan besar kami sejak pembebasan sepenuhnya bumi Syria daripada cengkaman rejim terdahulu, dan selepas penyatuan pelbagai fraksi termasuk SDF dalam kerajaan yang baharu. Ia mencerminkan sokongan terhadap usaha rakyat Syria untuk membina semula negara mereka secara aman, inklusif dan berdaulat.

GBSS melihat langkah ini sebagai suatu perkembangan positif yang boleh membuka laluan kepada penglibatan lebih aktif sektor swasta, masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam agenda pembangunan semula Syria secara menyeluruh dan mampan.

Kami turut menyokong kenyataan YAB Perdana Menteri yang menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dalam proses pemulihan Syria serta kerjasama antara rakyat melalui pendekatan kemanusiaan dan pembangunan bersama.

GBSS, yang merupakan gabungan lebih 20 NGO kemanusiaan di Malaysia, menyatakan kesediaan untuk terus menjadi penghubung dan penggerak kepada bantuan serta usaha ke arah pembinaan semula Syria. Melalui pelaksanaan inisiatif merentas enam kluster utama — pendidikan, ekonomi, kesihatan, penempatan, kebajikan dan advokasi — GBSS akan terus menyokong dan melengkapi usaha rakyat Syria dalam memulihkan semula negara mereka.

“Bina Semula Syria”

Dikeluarkan oleh:
Gabungan Bina Semula Syria (GBSS)
Tarikh: 7 April 2025

Disokong oleh:
1. Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim
2. Global Peace Mission (GPM) Malaysia
3. Syria Care
4. Muslim Volunteer Malaysia (MVM)
5. Persatuan Alumni Syria Malaysia
6. Pertubuhan Peduli Insan Malaysia
7. Pertubuhan Kebajikan FL (Childrity)
8. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
9. Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR)
10. Cinta Syria Malaysia (CSM)
11. HALUAN
12. Cinta Gaza Malaysia (CGM)
13. Alkhair Malaysia
14. Global Ehsan Relief Malaysia
15. Muslim Care Malaysia
16. HUMAM Relief
17. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
18. My Fund Action
19. MERCY Malaysia
20. Malaysian Relief Agency (MRA)
21. MyCARE