Gaza perlu 15 tahun bersih runtuhan akibat perang Israel – Agensi PBB
Kerja-kerja pembersihan Semenanjung Gaza daripada runtuhan akibat serangan maut berterusan Israel akan mengambil masa kira-kira 15 tahun, kata Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) semalam.
“Ia akan mengambil masa sehingga 15 tahun untuk membersihkan sekitar 40 juta tan runtuhan bangunan akibat perang di Gaza,” kata UNRWA, memetik penilaian oleh Program Alam Sekitar PBB (UNEP), lapor Berita Harian.
UNRWA berkata pembersihan runtuhan dan serpihan perang di Gaza memerlukan lebih 100 trak dan menelan belanja lebih AS$500 juta (RM2.33 bilion).
“Serpihan dan kesan runtuhan menimbulkan ancaman maut bagi penduduk di Semenanjung Gaza kerana ia boleh mengandungi senjata yang tidak meletup dan bahan berbahaya,” kata agensi PBB itu.
Bulan lalu, Radio Tentera Israel, memetik pegawai tentera, berkata kira-kira 50,000 bom digugurkan di Gaza oleh pesawat pejuang Israel sejak 7 Oktober lalu, sambil menambah antara 2,000 hingga 3,000 bom tidak meletup.
Melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, Israel berdepan kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan ke atas Gaza sejak serangan 7 Oktober oleh Hamas.
Hampir 38,700 rakyat Palestin terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 89,000 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Lebih sembilan bulan selepas serangan Israel, kawasan Gaza yang luas berada dalam runtuhan di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan.
Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang keputusan terbarunya mengarahkan rejim Zionis itu menghentikan serta-merta operasi ketenteraannya di bandar selatan Rafah, di mana lebih satu juta rakyat Palestin mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diceroboh pada 6 Mei.