ISRAEL-PALESTINIANS_GAZA_cdf9105a94c840e38a7c22c033849932_1747788397
Uncategorized

Eropah tingkat tekanan terhadap Israel hentikan serangan di Gaza

Menurut sumber AFP, Negara Eropah meningkatkan tekanan terhadap Israel supaya menghentikan kempen ketenteraannya yang semakin hebat di Gaza.

Gabungan negara itu turut menggesa Israel membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki wilayah yang musnah akibat perang itu.

Israel menyatakan 93 trak bantuan sudah memasuki Gaza dari Israel, namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula mendakwa penghantaran bantuan itu ditangguhkan.

Kelmarin, PBB berkata pihaknya sudah mendapat kebenaran untuk menghantar bantuan buat kali pertama sejak Israel melaksanakan sekatan penuh pada 2 Mac lalu, yang menyebabkan kekurangan serius makanan dan ubat-ubatan.

Krisis kemanusiaan yang semakin meruncing itu mencetuskan kemarahan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah (EU) menyatakan mereka akan menyemak semula perjanjian kerjasama perdagangan dengan Israel berikutan sekatan yang dikenakan.

Ketua Hal Ehwal Luar EU, Kaja Kallas, berkata majoriti menteri luar dari 27 negara anggota menyokong langkah berkenaan dan apa yang berlaku di Gaza adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Dalam pada itu, Sweden turut menyatakan bahawa ia akan mendesak EU supaya mengenakan sekatan terhadap menteri-menteri Israel.

Britain pula menggantung rundingan perdagangan bebas dengan Israel, memanggil Duta Israel ke London serta mengenakan sekatan terhadap pendatang haram Israel di Tebing Barat.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein, berkata tindakan EU itu sebagai satu salah faham besar terhadap kerumitan sebenar yang sedang dihadapi Israel.

Mengulas tindakan Britain, Marmorstein berkata tekanan luar tidak akan menggugat pendirian Israel dalam mempertahankan kewujudan dan keselamatan negara itu.

Unit kemanusiaan tentera Israel (COGAT) berkata, sebanyak 93 trak PBB membawa bantuan kemanusiaan termasuk tepung untuk roti, makanan bayi, peralatan perubatan dan ubat-ubatan sudah dibawa ke Gaza.

Jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Stephane Dujarric mengesahkan puluhan trak dibenarkan masuk, namun berdepan dengan pelbagai halangan.

“Salah satu pasukan kami terpaksa menunggu selama beberapa jam untuk mendapat pelepasan daripada Israel bagi mengambil bekalan makanan.

“Malangnya, mereka tidak dapat membawa bekalan berkenaan ke dalam gudang kami,” katanya.

Ketua Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, berkata sembilan trak yang dibenarkan masuk kelmarin adalah ibarat setitis air dalam lautan berbanding keperluan mendesak yang diperlukan.

Katanya, seramai 14,000 bayi mungkin maut dalam tempoh 48 jam akan datang sekiranya bantuan tidak dapat disampaikan segera.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, berkata pada mesyuarat Jawatankuasa Hubungan Luar Senat bahawa bekalan yang masuk tidak mencukupi.

“Kami menjangkakan jumlah penghantaran akan meningkat dalam beberapa hari dan minggu akan datang. Adalah penting ia dapat dicapai,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan Israel akan mengambil alih seluruh Gaza menerusi kempen ketenteraan terbaharunya.

Israel menyambung semula operasi ketenteraannya di seluruh Gaza pada 18 Mac lalu, menamatkan gencatan senjata selama dua bulan susulan kebuntuan dalam rundingan damai.

Rundingan baharu antara Israel dan Hamas secara tidak rasmi bermula di Doha, Qatar baru-baru ini, ketika kempen ketenteraan Israel semakin dipertingkatkan.

Qatar yang menjadi perantara sepanjang konflik berkenaan, berkata tindakan tidak bertanggungjawab dan agresif Israel menggagalkan peluang untuk mencapai gencatan senjata.

Sumber: Berita Harian