Dwistandard PBB punca krisis Palestin berpanjangan, tutup sebelah mata kekejaman Israel
DUBAI: Sikap dwistandard Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam membuat keputusan tegas terhadap kekejaman Israel dilihat menjadi punca utama konflik di Palestin masih berterusan malah bertambah buruk sehingga ke hari ini.
Wakil tetap Pakistan ke PBB, Munir Akram berkata, Israel bertambah kuat akibat sikap berat sebelah perintah antarabangsa yang turut dianggap sebagai ‘akar’ kepada krisis yang berlaku di Asia Barat, petik Utusan.
LAYANAN BERAT SEBELAH
Mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata di Gaza, Munir menggesa masyarakat antarabangsa untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang jelas di dalam PBB dan undang-undang antarabangsa.
“Ini adalah sifat perintah dunia di mana kita hidup.
“Terus-terang saya katakan terdapat piawaian berat sebelah, pilih kasih terhadap sesetengah pihak dan diskriminasi bagi yang lain,” katanya dalam rancangan berita semasa Arab News
Bagi Munir, kepercayaan terhadap potensi sistem peraturan global tidak hilang sepenuhnya dan bukan mengenai kekurangan prinsip mahupun kepincangan dalam undang- undang-undang antarabangsa atau kemanusiaan yang mengawal tindakan pejuang dalam peperangan.
Sebaliknya kegagalan besar yang dimasudkan adalah usaha penyatuan dan mencari titik kesepakatan dalam membuat sebarang keputusan mengenai isu-isu yang jelas menindas.
“Peraturan ini harus digunakan secara seragam dan universal kepada semua tetapi itu tidak berlaku. Orang Israel malangnya mempunyai rasa bebas daripada hukuman ini.
“Israel boleh membunuh orang dan kemudian melarikan diri tetapi apabila kumpulan lain melakukan sesuatu seperti yang dilakukan Hamas, mereka dianggap pengganas.
“Dwistandard ini adalah punca kepada kelemahan perintah atau perundangan antarabangsa yang kita ada hari ini dan ia perlu diperbetulkan segera,” katanya.
Jelasnya, penduduk di seluruh dunia perlu dilayan dengan cara yang sama berdasarkan undang-undang dan prinsip serupa yang disokong di semua negara.
POLEMIK GENCATAN SENJATA
Diplomat veteran Pakistan itu turut berulang kali menggesa gencatan senjata, memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa terdapat keperluan segera bukan sahaja untuk menghentikan permusuhan tetapi juga bagi memudahkan usaha penyediaan koridor kemanusiaan dan akses ke Gaza.
“Adalah jelas bahawa apa yang perlu berlaku ialah gencatan senjata. Kita perlu hentikan permusuhan, hentikan pengeboman udara, pencerobohan Gaza dan pembunuhan tanpa henti yang sedang berlaku.
“Dan kami melihatnya dengan serangan ke atas kem pelarian Jabalia. Ini adalah ‘penyembelihan’ yang tidak perlu terhadap orang awam dengan apa jua objektif ketenteraan yang mungkin,” tegasnya.
Munir menegaskan bahawa walaupun undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang sasaran dan pembunuhan orang awam, tindakan kejam itu masih berlaku tanpa hukuman sehingga ke hari ini dan amat mengecewakan kuasa tertentu tidak dapat bersetuju dengan gencatan senjata.
“Situasi ini amat membingungkan. Ia merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dengan cara yang paling jelas dan ganas. Dan saya fikir masyarakat antarabangsa perlu mempertahankan prinsip yang kita semua sokong di sini di PBB,” tegasnya.
Beliau juga menyokong pandangan pelapor khas PBB untuk Palestin, Francesca Albanese yang menegaskan hak untuk mempertahankan diri tidak terpakai kepada kumpulan yang sedang menjajah atau melakukan pendudukan secara haram.
“Inilah yang kami katakan dalam Majlis Keselamatan. Anda boleh melihat kenyataan pertama yang dibuat oleh Pakistan mengenai perkara ini apabila konflik meletus.
“Kami dengan jelas menyatakan bahawa kuasa yang cuba menduduki kawasan orang lain tidak boleh menuntut hak untuk mempertahankan diri terhadap penduduk yang tinggal di lokasi yang cuba dijajah dan didudukinya itu.
“Saya fikir undang-undang mengenai perkara ini sangat jelas. Tuntutan dan dakwaan yang dibuat oleh Israel bersama sekutunya bahawa mereka mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya tidak terpakai dan tidak boleh dipertahankan secara sah dalam situasi ini,” katanya.
Munir turut berhujah bahawa kesalahan besar dan paling utama dalam konflik Gaza bukanlah serangan Hamas pada 7 Oktober lalu tetapi lebih kepada pendudukan Israel yang berterusan ke atas tanah Palestin.
Pendirian itu beliau bahaskan semasa ucapan di Perhimpunan Agung PBB tetapi menerima tindak balas daripada kumpulan pro-Israel.