Dunia kecam Israel kerana serang kem pelarian di Rafah
Israel berdepan gelombang kecaman antarabangsa susulan serangan Israel yang membunuh 45 mangsa dan mencederakan 249 yang lain, selepas sebuah kem khemah pelarian menempatkan penduduk Palestin musnah terbakar.
Tentera Israel berkata pesawatnya menyerang perkarangan Hamas di Rafah dan membunuh Yassin Rabia serta Khaled Nagar, pemimpin kanan Hamas di Tebing Barat yang diduduki, lapor Berita Harian.
Agensi pertahanan awam Gaza berkata, serangan itu mencetuskan kebakaran yang memusnahkan pusat perpindahan di barat laut Rafah berhampiran kemudahan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin, UNRWA.
“Kami melihat mayat rentung dan anggota badan yang dikerat… Kami juga melihat kes amputasi, kanak-kanak cedera, wanita dan warga emas mendapatkan rawatan,” kata pegawai agensi pertahanan awam, Mohammad al-Mughyyir.
Rakaman daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menunjukkan suasana kelam kabut pada waktu malam, dengan paramedik bergegas ke lokasi serangan dan memindahkan mangsa yang cedera.
Mughyyir berkata usaha menyelamat terhalang oleh kerosakan akibat perang dan kesan pengepungan Israel, yang menyebabkan kekurangan bahan api yang teruk dan tiada air untuk memadamkan kebakaran.
Serangan Israel mencetuskan bantahan kuat daripada negara pengantara Mesir dan Qatar, serta kerajaan serantau yang lain.
Mesir kesal dengan serangan menyasarkan orang awam yang tidak berdaya, menyebutnya sebagai sebahagian daripada dasar sistematik bertujuan meluaskan skop kematian dan kemusnahan di Semenanjung Gaza untuk menjadikannya tidak boleh didiami.
Jordan menuduh Israel melakukan ‘jenayah perang yang berterusan’, Arab Saudi mengutuk ‘pembunuhan beramai-ramai’, dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berikrar ‘untuk menghadapkan pengganas dan pembunuh itu ke muka pengadilan’.
Qatar mengecam ‘pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berbahaya’ dan menyuarakan kebimbangan pengeboman itu akan merumitkan usaha pengantaraan yang berterusan ke arah gencatan senjata.
Pengerusi Kesatuan Afrika (AU), Moussa Faki Mahamat, berkata di platform X bahawa ‘Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa… menghina keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dua hari lalu yang mengarahkan tindakan ketenteraan dihentikan di Rafah’.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam catatan di media sosial, berkata tiada lagi tempat selamat di Gaza dan kengerian itu mesti dihentikan selain memaklumkan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) akan mengadakan sesi tergempar untuk membincangkan serangan itu.
UNRWA kini menjadi menjadi pusat di Rafah untuk membantu operasi di wilayah yang dikepung semasa perang dan ketuanya, Philippe Lazzarini, berkata di Platform X bahawa pemberian bantuan dan perlindungan saban hari menjadi semakin menjadi mustahil.
“Imej dari malam tadi adalah bukti bagaimana Rafah bertukar menjadi zon perang, dengan sekatan pergerakan yang ketat, serangan Israel dan pelancaran roket Hamas serta lain-lain cabaran… yang tidak membenarkan kami mengedarkan bantuan,” katanya.
Pemangku pengarah di Hospital Khas Kuwait di Rafah, Dr Suhaib al-Hams, berkata hospital itu kini tidak beroperasi dan dipindahkan selepas tembakan Israel memusnahkan pintu dan membunuh dua pegawai perubatan.
Hari ini, Sepanyol, Ireland dan Norway mengiktiraf secara rasmi kewujudan negara Palestin, satu langkah yang setakat ini diambil oleh lebih 140 negara anggota PBB, tetapi tidak banyak kuasa Barat.