CHINA DIDAKWA LAKUKAN PENGANIAYAAN ‘KASAR’ TERHADAP UIGHUR
LONDON – Britain hari ini menuduh Beijing melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang disifatkan sebagai jijik dan teruk membabitkan layanan terhadap etnik dan minoriti agama di wilayah Xinjiang dekat barat China.
Kumpulan hak asasi dan pakar menjangkakan lebih sejuta etnik Uighur dan lain-lain minoriti bertutur dalam Bahasa Turki diberkas untuk dikumpulkan ke dalam rangkaian kem tahanan.
Setiausaha Luar British, Dominic Raab, berkata laporan mengenai paksaan penghapusan dan tahanan besar-besaran di wilayah yang sebahagian besar diduduki orang Islam memerlukan perhatian.
“Jelas sekali sedang berlaku pelanggaran hak asasi yang jijik dan teruk. Ia amat amat menyusahkan.
“Laporan dan aspek manusia daripadanya mengingatkan sesuatu yang sudah lama kita tidak lihat dan ini berpunca dari peneraju anggota komuniti antarabangsa yang ingin ianya dipandang serius.
“Kita mahukan hubungan positif (dengan China), tetapi kami tidak dapat melihat tingkah laku seperti itu,” katanya kepada BBC.
Komen itu dilontarkan tatkala ketegangan membuak-buak antara London dan China lantaran banyak isu.
Selasa lalu, Britain tunduk terhadap tekanan berterusan dari Washington dan mengarahkan penyingkiran secara berperingkat rangkaian 5G dari syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei meskipun Beijing memberi amaran.
Selain itu, kedua-dua pihak juga bertengkar berhubung penguatkuasaan undang-undang keselamatan negara yang kontroversi di Hong Kong oleh China.
Sumber: Berita Harian