budak10_1720579012
Info Semasa

Budak lelaki 13 tahun mati ditembak Zionis – Kementerian Kesihatan

Kementerian Kesihatan Palestin berkata tentera Israel menembak mati seorang budak lelaki berusia 13 tahun berhampiran kawasan bandar utama Ramallah di Tebing Barat, semalam.

Dalam satu kenyataan, kementerian berkenaan memaklumkan Ghassan Gharib Zahran ditembak di Deir Abu Mishal, tidak jauh dari sini, lapor Berita Harian.

Sepupu mangsa, Munther Zahran pula berkata Allahyarham meninggal selepas ‘peluru terkena perutnya’ ketika dia berada di jalan utama Deir Abu Mishal.

“Jalan ini digunakan penghuni dan tentera yang sentiasa memantau kawasan berkenaan,” katanya.

Jenazah Ghassan Gharib dibalut dengan bendera Palestin dan dibawa melalui jalan di sini untuk upacara pengebumian, selang beberapa jam selepas tembakan terbabit.

Pegawai Kementerian Kesihatan berkata tentera Israel turut merobohkan jalan utama di kem pelarian Nur Shams dalam serangan selama 15 jam, melonjakan lagi ketegangan sejak perang Gaza meletus pada 7 Oktober lalu.

Kem pelarian Nur Shams, berhampiran Tulkarem sebelum ini juga menjadi sasaran beberapa operasi tentera sejak beberapa minggu lalu.

Beberapa jentolak tentera merobohkan jalan utama kem dan memusnahkan beberapa bangunan semalam, kata wartawan AFP.

Sementara itu, rejim Zionis dalam kenyataan kepada AFP berkata, ‘pengganas melempar batu ke arah kenderaan Israel di kawasan Deir Abu Mishal’.

Tentera kemudian ‘bertindak balas dengan melepaskan tembakan, mengakibatkan seorang daripada pengganas cedera’.

Katanya, seorang individu didakwa meletupkan ‘puluhan bahan api’ disembunyikan di bawah jalan untuk mencederakan tentera, turut ditahan.

Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin, Mohammed Mustafa berkata tindakan Israel akan memberi ‘kesan kemanusiaan besar’.

“Insiden terkini menunjukkan kemusnahan infrastruktur penting belum pernah terjadi sebelum ini, termasuk rangkaian air dan elektrik, serta perobohan rumah Palestin berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan.