Kenyataan Media

BUAH EPAL MEMBUSUK, PENDUDUK SEPI SELEPAS PERINTAH BERKURUNG BERKUATKUASA DI KASHMIR

 

SOPORE, 19 Sept. – Sudah masuk musim menuai namun pasar di bandar utara Kashmir di sini yang biasanya penuh sesak dengan pelanggan, trak dan buah-buahan hasil tuaian tahun ini dilihat kosong, sementara dusun epal di seluruh Jammu dan Kashmir membusuk tidak dipetik.

Di satu daripada rantau penanaman epal terbesar dunia, perintah berkurung selama beberapa minggu dilaksanakan selepas Perdana Menteri Narendra Modi melucutkan status khas Kashmir, memutuskan hubungan pengangkutan dengan pembeli di India dan luar negara, kata penanam buah dan pedagang, menjerumuskan industri itu ke kancah huru-hara.

Modi menabur janji tindakan itu sebagai cara meningkatkan pertumbuhan dengan membuka negeri itu ke serata India.

Namun sehingga kini, rusuhan yang mencetuskan tindakan kerajaan menyekat ekonomi, melanjutkan kebencian di wilayah majoriti Islam di mana pemberontakan bersenjata ke atas pemerintahan India berterusan lebih 30 tahun.

Pada awal pagi minggu lalu, pasar tempatan dikenali sebagai ‘London Kecil’ kerana dusun subur, rumah besar dan kemewahan, ditinggalkan, pintu pagarnya berkunci.

“Semua orang ketakutan. Tiada seorang pun akan datang,” kata seorang peniaga, bergegas ke masjid berhampiran untuk bersolat.

Tanaman epal menjadi nadi utama ekonomi Kashmir, membabitkan 3.5 juta orang, sekitar separuh penduduk di negeri itu.

Dalam tindakan mengejutkan 5 Ogos lalu, sejurus sebelum musim menuai, kerajaan melucutkan peruntukan perlembagaan India yang memberi Jammu dan Kashmir sebahagian autonomi yang mensyaratkan hanya penduduk boleh membeli hartanah atau memegang jawatan kerajaan.

Sekatan pergerakan dilaksanakan serentak sementara jaringan telefon bimbit, telefon dan internet dihentikan.

Dalam jangka pendek, petani dan peniaga buah-buahan berkata, sekatan itu menghalang mereka daripada memasarkan produk atau menghantarnya ke seluruh India. Sesetengah berkata, mereka juga diancam kumpulan militan.

Dalam dusun di sekitar Sopore, epal dilihat membusuk di pokoknya. “Kami tersekat di sini. Kami tidak boleh ke mana-mana,” kata Haji, seorang peniaga yang tinggal dalam rumah mewah dua tingkat di sini

 

Sumber: Berita Harian