BERIBU DIPINDAHKAN MENJELANG SATU LAGI TAUFAN MELANDA FILIPINA
LEGAZPI: Ribuan orang dipindahkan dari kediaman mereka di kawasan Filipina yang dilanda ribut, ketika taufan ketiga dalam tempoh beberapa minggu menuju ke negara itu.
Taufan Vamco dijangka melanda Pulau Catanduanes – yang dihancurkan oleh Taufan Goni kurang dua minggu yang lalu – sebelum dijangka membadai pulau Luzon yang paling padat lewat hari ini atau awal esok.
Angin dan hujan lebat dijangka berlaku di bahagian Luzon tengah dan selatan, kata peramal cuaca negeri.
Kira-kira 50,000 orang yang tinggal di laluan taufan akan diperintahkan untuk meninggalkan kediaman mereka, kata jurucakap Pertahanan Awam wilayah Gremil, Alexis Naz.
Wilayah Bicol, yang akan dilintasi oleh Vamco ketika menuju ke Manila, masih belum pulih daripada kesan taufan Molave dan Goni yang membinasakan, membunuh puluhan orang dan menyebabkan ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal.
Kawasan di wilayah itu masih tanpa bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi terhad atau tiada langsung selepas Goni – taufan paling kuat tahun ini – merebahkan talian kuasa, meranapkan rumah dan menyebabkan jalan raya dibanjiri.
Pra-pemindahan kira-kira 400,000 orang dipercayai mampu menyelamatkan banyak nyawa.
Bagaimanapun, usaha pemindahan di Catanduan kali ini menjadi rumit, selepas Goni menghancurkan beberapa tempat perlindungan darurat di kawasan itu.
“Ia sepertinya kita sedang dalam satu peratus pemulihan dan kemudian… Ulysses (nama Filipina untuk Vamco) akan datang,” kata Gabenor Catanduanes, Joseph Cua kepada penyiar tempatan ABS-CBN.
“Saya harap orang tidak akan jemu menolong kita.”
Taufan Vamco mampu mencapai kemuncak tiupan angin 130-155 kilometer sejam (km/j) sebelum mendarat, kata peramal cuaca.
Taufan itu dijangka membawa hujan lebat di Manila dan wilayah berdekatan ketika melanda seluruh negara yang sudah basah.
Perkhidmatan cuaca juga memberi amaran mengenai banjir, tanah runtuh dan ribut melambung tinggi beberapa meter di sepanjang bahagian pantai timur dan di ibu kota.
Filipina dilanda kira-kira 20 ribut dan taufan setiap tahun, yang biasanya memusnahkan hasil tanaman, kediaman dan infrastruktur, sehingga menyebabkan berjuta-juta orang kekal miskin.
Sumber: Berita Harian