Info SemasaKenyataan Media

BENARKAH SEKUTU SUU KYI MAHU HAK SAMA UNTUK UMAT ISLAM ROHINGYA?

SINGAPURA: Ratusan ribu umat Islam Rohingya yang tinggal di kem pelarian di Bangladesh harus disatukan kembali ke dalam masyarakat Myanmar dan diberi ‘hak penuh’ termasuk kewarganegaraan, demikian menurut sekutu utama pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Dalam satu wawancara minggu lalu, Dr Sasa, yang menggunakan hanya satu nama dan menggambarkan dirinya sebagai utusan yang mewakili Parlimen Myanmar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sudah tiba masanya 55 juta rakyat negara itu mengetepikan perbezaan mereka dan berdepan tentera yang merampas kuasa bulan lalu.

Di bawah pemerintahan sebelum ini pimpinan Suu Kyi yang kini ditahan, Myanmar mempertahankan tentera daripada tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas Rohingya sejak 2017, memaksa lebih 700,000 orang melarikan diri merentas sempadan.

Tindakan tentera terhadap Rohingya mendorong AS untuk mengenakan sekatan terhadap pemimpin tertinggi tentera, memusnahkan reputasi antarabangsa Suu Kyi dan memburukkan iklim pelaburan.

Pihak berkuasa secara berterusan gagal menjamin perlindungan bagi kepulangan mereka, membiarkan mereka tinggal dalam keadaan yang teruk di kem pelarian.

Mereka dinafikan hak asas termasuk kewarganegaraan, manakala pihak berkuasa termasuk yang dipilih sebelumnya, enggan untuk mengakui mereka sebagai Rohingya dan memanggil mereka ‘Bengali’, yang dianggap menghina.

“Saya menunggu masa untuk memanggil saudara Rohingya kami sebagai keluarga saya. Kami satu keluarga. Sekarang kami hanya mempunyai satu musuh bersama iaitu jeneral tentera ini,” kata Dr Sasa dalam wawancara dengan Haslinda Amin dari Bloomberg Television.

Kenyataan itu dibuat menjelang hujung minggu yang membawa kematian terburuk sejak rampasan kuasa, dengan sekurang-kurangnya 114 penunjuk perasaan dan orang awam terbunuh dalam pertempuran dengan tentera serta polis pada Sabtu sahaja.

Ketua pertahanan dari seluruh dunia sama-sama mengutuk penggunaan kekerasan yang membawa maut terhadap orang yang tidak bersenjata, yang menyebabkan 459 orang terkorban setakat ini.

Sebagai sebahagian daripada Jawatankuasa Mewakili Pyidaungsu Hluttaw (CRPH), sebuah pemerintahan selari yang ditubuhkan anggota Liga Kebangsaan bagi Demokrasi yang digulingkan, Dr Sasa berkata, rakyat ‘harus diberi kesempatan untuk melindungi diri mereka sendiri’ daripada penindasan keras tentera.

Junta mempertahankan tindakan kerasnya terhadap penunjuk perasaan, dengan secara konsisten menggambarkan mereka sebagai perusuh ganas yang menyerang pasukan keselamatan dan merosakkan harta benda.

Dalam isu ini, Serantau Muslim berharap ia bukan kata-kata positif yang dilontarkan semata, namun berharap usaha ke arah yang diutarakan tersebut terlaksana kelak agar kehidupan minoriti Islam ini terbela.

Kredit: Berita Harian