WhatsApp Image 2024-02-27 at 9.58.01 AM
Uncategorized

Bayi kongsi inkubator akibat kesesakan di Rafah

Bayi yang baru dilahirkan di Rafah, Semenanjung Gaza kini terpaksa berkongsi inkubator akibat kesesakan.

Meninju laporan Berita Harian, bandar Rafah kini menempatkan 1.4 juta orang yang kebanyakannya melarikan diri dari perang yang berlaku di bahagian lain di Gaza.

Sebilangan besar rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal meningkatkan tekanan ke atas hospital.

Di Hospital Emirates di bandar Rafah, tiga atau empat bayi dimasukkan ke dalam satu inkubator.

Menurut Dr Amal Ismail, yang bekerja di hospital itu, keadaan ini menyebabkan penularan penyakit dalam kalangan bayi-bayi itu.

“Di jabatan kami ada 70 kes yang diletakkan pada 20 inkubator bermakna dalam setiap inkubator kami mempunyai kira-kira empat atau tiga bayi dan sudah tentu ia menjejaskan kesihatan mereka.

“Kami melakukan sedaya upaya untuk membantu dan memperbaiki keadaan mereka tetapi sepsis merebak dalam kalangan mereka kerana semua kes adalah bersebelahan. Sepatutnya kita hanya mempunyai seorang bayi dalam setiap inkubator,” katanya.

Sebahagian besar hospital di Gaza terpaksa ditutup selepas menjadi sasaran serangan Israel.

Pada November lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarangkan supaya 31 bayi dari Hospital Shifa di bandar Gaza dipindahkan.

Sejumlah 28 bayi dibawa ke Mesir dan tiga dipindahkan ke Hospital Emirates di Rafah.

Kementerian Kesihatan di Gaza mengesahkan seramai 92 rakyat Palestin yang terbunuh dalam pengeboman Israel telah dibawa ke hospital sejak 24 jam lalu.

Ini telah meningkatkan jumlah keseluruhan yang syahid dalam perang hampir lima bulan kepada 29,606.

Jumlah keseluruhan yang cedera meningkat kepada hampir 70,000.

Operasi darat di Rafah boleh memutuskan satu-satunya jalan untuk menghantar makanan dan bekalan perubatan.