WhatsApp Image 2023-07-05 at 1.24.07 PM
Info Semasa

‘Battle of Jenin’ kembali hantui penduduk Palestin

JENIN: Sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh dalam operasi ketenteraan besar-besaran yang dilancarkan oleh tentera Israel di Jenin, Tebing Barat.

Operasi berskala besar itu membabitkan serangan udara dan darat dengan kehadiran ratusan anggota tentera Zionis, lapor Utusan Malaysia.

Tambah laporan itu lagi, serbuan tersebut telah dilancarkan di bawah pemerintahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang mana ia menyasarkan bandar utara Jenin.

Ia juga dikatakan merupakan serangan terbesar di Tebing Barat dengan kehadiran kenderaan berperisai, jentolak tentera dan dron.

Operasi yang bermula semalam, menyaksikan kira-kira 3,000 penduduk Palestin meninggalkan tempat tinggal mereka di kem pelarian Jenin.

Timbalan Gabenor Jenin, Kamal Abu al-Roub berkata, persediaan giat dilakukan untuk menempatkan golongan penduduk itu di sekolah dan pusat perlindungan lain di bandar tersebut.

Pertempuran dan letupan menggegarkan bandar serta kem pelarian berdekatan ketika penduduk Palestin membaling batu ke arah pasukan tentera.

Kepulan asap akibat letupan dan penghadang yang terbakar menyelubungi ruang udara.

Pengarah Bulan Sabit Merah Palestin di Jenin, Mahmoud al-Saadi memaklumkan berlaku pengeboman dari udara dan pencerobohan di lapangan.

“Malah, beberapa rumah dan tapak turut dibedil sehingga kepulan asap muncul dari mana-mana,” katanya.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan 11 orang terbunuh dan 100 lagi cedera dengan 20 daripadanya parah.

Jumlah itu melebihi bilangan tujuh individu maut dalam serbuan Israel di Jenin kira-kira dua minggu lalu yang menyaksikan penggunaan peluru berpandu helikopter yang jarang berlaku.

Netanyahu dalam satu kenyataan memaklumkan tentera Israel yang berada di ‘sarang pengganas di Jenin’ sedang “memusnahkan pusat arahan dan merampas senjata yang banyak.”

BATTLE OF JENIN

Kementerian Luar Palestin menyifatkan tindakan itu sebagai `perang terbuka terhadap penduduk Jenin’.

Jurucakap tentera, Daniel Hagari berkata, tentera Israel `tidak berniat untuk terus berada di kem’ namun `bersiap sedia berdepan situasi lebih teruk’ membabitkan pertempuran berpanjangan.

Jelasnya, pasukan tentera dan kumpulan bersenjata berbalas tembakan di sebuah masjid di kem Jenin, selain senjata serta bahan letupan ditemukan dalam bangunan berkenaan.

Pada April 2002, tentera Israel melancarkan operasi serupa dengan alasan yang sama, iaitu memebanteras kumpulan pengganas, menyaksikan lebih 50 rakyat Palestin terbunuh.

Penduduk kem pelarian Jenin, Mahmoud Hawashin menyifatkan situasi itu sebagai ‘malapetaka’.

Dia meramalkan ‘sekiranya berlaku lebih banyak pertumpahan darah penduduk Palestin, maka akan ada lebih banyak pertumpahan darah warga Israel’.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan mengenai keganasan itu dan menggesa undang-undang kemanusiaan antarabangsa dihormati.

KECAM ISRAEL

Pihak berkuasa Palestin, Jordan, Mesir dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara Islam mengecam keganasan di Tebing Barat.

“Penduduk Palestin tidak akan merayu, menyerah kalah mahupun mengibarkan bendera putih.

“Kami tetap tabah dan teguh berdepan pencerobohan yang kejam ini,” kata jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh.