‘Bashar keluar! Bebaskan Syria!’
DAMASCUS: Beratus-ratus penduduk melancarkan protes di selatan Syria bagi mendesak Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan.
Memetik laporan Utusan daripada sumber Al-Jazeera, protes baharu itu mengakhiri demonstrasi hampir dua minggu sebelum ini yang meletus berikutan masalah kos sara hidup dan penduduk yang hidup dalam kemiskinan, namun meningkatkan seruan untuk perubahan politik.
Penunjuk perasaan yang melancarkan protes di bandar Sweida menggesa Bashar `membebaskan’ negara itu daripada pemerintahannya.
“Bashar keluar! Bebaskan Syria!,” jerit penduduk yang menyertai protes itu.
Syria berada dalam krisis ekonomi yang mendalam apabila mata wang negara itu menurun ke paras terendah 15,500 pound Syria (RM5.54) kepada Dolar pada bulan lalu.
Ia diniagakan pada 47 pound Syria kepada dolar pada permulaan perang negara itu 12 tahun lalu.
Protes itu pada mulanya didorong oleh isu inflasi tinggi dan ekonomi negara yang semakin teruk, namun ia beralih tumpuan apabila penunjuk perasaan mendesak kejatuhan pimpinan Bashar.
Dilaporkan, protes berlangsung di wilayah Sweida yang dikawal kerajaan itu disifatkan jarang berlaku.
Kritikan terbuka terhadap kerajaan masih jarang berlaku di kawasan dikawal kerajaan, namun protes demikian masih boleh berlaku mengambil kira keadaan ekonomi yang bertambah buruk.
Peratusan penduduk menyertai protes semalam adalah besar walaupun wujudnya perpecahan dalam kalangan pemimpin komuniti Druze berhubung demonstrasi.
Druze merupakan komuniti minoriti yang sebahagian besarnya kekal neutral dalam konflik antara Bashar dan kumpulan menentang kepemimpinannya.
Bagaimanapun, beberapa penduduk komuniti Druze mengkritik gesaan penunjuk perasaan yang mahu Bashar berundur dari jawatannya.
Menurut mereka, sebarang penambahbaikan terhadap situasi sosio ekonomi semasa negara harus melalui cara dialog.
Sementara itu, puluhan penunjuk perasaan dilaporkan berkumpul di wilayah Daraa, semalam.
Rata-rata penunjuk perasaan mengibarkan bendera tiga bintang yang melambangkan kebangkitan Syria, selain membawa papan tanda mengkritik peranan Iran, sekutu utama Bashar.
Daraa merupakan kawasan kebangkitan pada 2011 di Syria yang menentang Presiden Bashar.