WhatsApp Image 2023-12-20 at 3.59.45 PM
Uncategorized

Barang bantuan dari misi ketiga Ops Ihsan selamat tiba di Mesir

20 Dis – Pesawat MASKargo yang membawa 60 tan barangan bantuan misi ketiga Ops Ihsan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir semalam.

Pengerusi SekretariatOps Ihsan, Jismi Johari menyatakan bahawa pesawat sewa khas jenis Airbus A330-200 itu mendarat di sana pukul 7.50 pagi waktu tempatan (1.50 tengah hari waktu Malaysia).

Menurut kakitangan Serantau Muslim, Faeez Azahar yang juga selaku tim media Ops Ihsan yang bersama-sama misi berkenaan, bantuan tersebut telah tiba 20 minit lebih awal daripada jangkaan asal dengan tempoh penerbangan mengambil masa hampir 11 jam.

Menerusi laporan Utusan hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah telah berkenan mencemar duli bagi menyaksikan persiapan akhir misi bantuan itu di Terminal Kargo KLIA, Sepang semalam.

Buat makluman, misi pertama telah berjaya dilaksanakan pada 3 November lalu yang melibatkan muatan seberat 20 tan manakala kali kedua pula diadakan genap seminggu kemudian dengan berat cuma 16 tan.

Proses untuk membawa keluar segala barangan daripada pesawat itu yang bernilai kira-kira RM3 juta dilaporkan memakan masa selama tiga jam.

Ketibaan pesawat ini disambut oleh para pegawai operasi pengendalian darat terminal udara di El-Arish bersama-sama petugas Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Antara barangan yang akan dibawa masuk ke Gaza melibatkan pelbagai jenis ubat-ubatan, peralatan perubatan, produk makanan, keperluan bayi dan wanita serta barangan bagi persiapan musim sejuk.

Kesemua barangan ini akan melalui pintu sempadan Rafah sebelum diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Kesemua tim Ops Ihsan yang bersama-sama misi tersebut turut menzahirkan perasaan syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam usaha penghantaran kali ketiga itu dengan usaha bersepadu Kementerian Luar dan agensi kerajaan dengan lebih 60 badan bukan kerajaan.