Info SemasaKenyataan Media

BANJIR KILAT RAGUT 15 NYAWA DI INDONESIA, BERPULUH HILANG

MAKASSAR – Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan puluhan hilang selepas banjir kilat menyebabkan ratusan rumah tertimbus dalam lumpur di pulau Sulawesi Indonesia, kata pihak berkuasa semalam.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mencari orang hilang yang dikhuatiri dihanyutkan oleh banjir dan lumpur selepas tiga sungai di daerah Luwu Utara dilanda banjir akibat hujan lebat, kata agensi mitigasi bencana di pulau itu.

“Sehingga petang ini (14 Julai), kami telah menerima laporan dari penduduk tempatan yang mengatakan saudara mereka hilang. Keseluruhannya terdapat puluhan yang hilang,” kata ketua agensi mitigasi dan penyelamatan Luwu Utara, Muslim Muchsin.

Ratusan rumah serta pejabat kerajaan dan kemudahan awam diliputi lumpur sepanjang tiga hingga lima meter.

“Kami hanya dapat melihat atap rumah dari kejauhan,” tambah Muchsin.

Sebanyak 2,000 penduduk berlindung di tempat perlindungan sementara di Luwu Utara, kata agensi itu, tetapi banjir dan lumpur menghalang usaha mengagihkan bekalan.

“Sekarang kami fokus pada usaha membersihkan lumpur yang menenggelamkan jalan sehingga kami dapat membuka akses ke lokasi untuk membawa logistik,” kata Muchsin.

Bupati Luwu Utara, Indah Putri Indriani, berkata 15 orang yang mati ditemui oleh pasukan penyelamat semalam.

“Dari data terbaru yang saya terima di daerah Radda sahaja, ada 56 orang yang hilang, tetapi jumlahnya mungkin lebih tinggi walaupun ada beberapa kampung yang tidak dapat diakses sama sekali,” kata Indah, menambahkan bahawa pejabatnya juga diliputi lumpur.

Awal tahun ini, jumlah hujan yang mencatat rekod mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan hampir 70 orang di dan sekitar ibu kota Indonesia Jakarta.

Kepulauan Asia Tenggara kerap dilanda banjir semasa musim hujan. 

Sumber: Berita Harian