Info SemasaKenyataan Media

BANJIR DI BANGLADESH JEJAS 12,000 PELARIAN ROHINGYA

Dhaka: Hujan monsun di Bangladesh menjejaskan lebih 12,000 pelarian Rohingya sementara kira-kira 2,500 tempat perlindungan rosak atau musnah, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) pada Rabu.

Lebih 5,000 pelarian dipindahkan sama ada menumpang di rumah anggota keluarga yang lain atau ditempatkan di kemudahan perlindungan sementara berikutan curahan hujan melebihi 300 milimeter di kawasan kem yang menampung lebih 800,000 pelarian, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan UNHCR.

Kenyataan itu menyatakan sekurang-kurangnya enam pelarian Rohingya maut dalam insiden yang dicetuskan hujan lebat.

“Hujan lebat dijangka berterusan dalam beberapa hari lagi dengan musim tengkujuh dijangka melanda untuk tempoh tiga bulan lagi. Situasi ini diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19,” tambahnya.

Bangladesh kini menempatkan hampir 1.2 juta Rohingya yang melarikan diri akibat kekerasan tentera di Rakhine, Myanmar pada Ogos 2017.

Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 Rohingya dibunuh tentera Myanmar, lebih 34,000 lagi dibakar hidup-hidup dan lebih 114,000 yang lain didera, menurut laporan Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA).

Sumber: Harian Metro