Info SemasaKenyataan Media

BANGKOK: COVID-19 AKIBATKAN BELENGGU KEMISKINAN SEMAKIN MERUNCING

BANGKOK – Penularan COVID-19 memaksa pasangan suami isteri, Thanapat Noidee dan Papassorn, bersama anak mereka sekadar dapat mengalas perut dengan mi hasil sumbangan amal akibat belenggu kemiskinan yang semakin meruncing.

Lebih memilukan, keluarga itu menjadikan pondok kecil yang terletak di tengah daerah komersial dengan dikelilingi hotel bertaraf lima bintang dan restoran mahal, sebagai tempat berteduh.

Mereka berkongsi ruang sempit bersama dua anak, Woraphat serta Kittipat yang masing-masing berusia enam dan tujuh tahun.

Di pondok setinggi 1.2 meter itu, suami isteri berkenaan terpaksa membongkok untuk bergerak dalam bilik tunggal yang menjadi tempat tidur, makan dan juga ruang tamu.

Di bahagian bawah pondok itu pula, terdapat saluran paip air dan lantai konkrit dijadikan kawasan dapur yang turut dihuni tikus.

Papassorn hilang pekerjaan selepas Thailand melaksanakan perintah berkurung pada hujung Mac lalu bagi membendung penularan COVID-19.

“Saya terpaksa meminjam wang daripada ayah dan datuk untuk membayar bil elektrik.

“Sekolah akan dibuka semula, tidak lama lagi (1 Julai) dan saya perlu mencari wang bagi menampung perbelanjaan,” katanya.

Walaupun pandemik itu kian terkawal selepas perintah berkurung dilaksanakan, Papassorn belum dapat kembali bekerja, manakala suaminya sekadar memperoleh pendapatan kira-kira 1,000 bath (AS$31) sehari sebagai pemandu teksi motosikal.

Keluarga itu terpaksa bergantung pada sumbangan makanan harian, namun khidmat amal berkenaan dihentikan selepas bandar dibuka semula.

“Tanpa sumbangan makanan, saya terpaksa berusaha lebih keras bagi memastikan kelangsungan hidup kami sekeluarga,” kata Thanapat.

Parlimen Thailand dijangka membuat undian bagi meluluskan pakej rangsangan berjumlah hampir AS$60 bilion untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat COVID-19.

Jika diluluskan, ia akan menjadi suntikan kewangan terbesar dalam sejarah Thailand.

Sumber: Berita Harian