skol_1702971911
Uncategorized

AS ikrar terus sokong Israel

Amerika Syarikat (AS) berikrar akan terus membekalkan senjata kepada Israel dalam kempennya menentang Hamas, meskipun ia turut mendesak lebih banyak bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Menurut Berita Harian, pertempuran berterusan pada bulan ketiga perang Gaza paling berdarah, dengan Kementerian Kesihatan dikendalikan Hamas melaporkan 110 lagi orang terbunuh dalam serangan ke atas kem Jabalia yang berhampiran Gaza.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNSC di New York dijangka mengadakan undian dalam satu lagi gesaan untuk gencatan kemanusiaan di wilayah yang dikepung.

Resolusi sama sebelum ini dibantah menggunakan kuasa veto oleh sekutu utama Israel, AS.

Namun, undian itu ditangguhkan sehingga 19 Disember kerana rundingan diteruskan mengenai teks dokumen itu, kata sumber diplomatik di PBB kepada AFP.

Ketika melawat Israel pada 18 Disember, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, berkata bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu dipertingkatkan

Beliau mengesahkan Washington adalah ‘sahabat terbesar Israel’ dan akan terus menyediakan ‘senjata kritikal, kenderaan taktikal dan sistem pertahanan udara’.

Tambah Austin, lawatannya tidak bertujuan untuk ‘menentukan garis masa atau syarat’ untuk peperangan Hamas-Israel.

Beliau kini melawat Asia Barat ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai perang berleluasa ke seluruh rantau itu.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman giat menyerang laluan perkapalan antarabangsa di Laut Merah sebagai lambang solidariti dengan Hamas.

Serangan itu mengganggu perdagangan global, menaikkan harga minyak, dengan syarikat gergasi tenaga BP antara firma utama terbaru untuk mengelakkan daripada menggunakan laluan penting menerusi Terusan Suez.

AS pada 18 Disember mengumumkan gabungan 10 negara untuk menentang serangan Houthi di Laut Merah, dengan Britain, Perancis, Bahrain dan Itali antara negara yang menyertainya.

Peperangan di Gaza bermula apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh sekitar 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan menahan lebih 240 orang sebagai tebusan.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata tindak balas dan serangan berterusan Israel telah membunuh lebih 19,000 penduduk Gaza.

​Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada 17 Disember, dilaporkan sekali lagi berikrar bahawa Israel akan memusnahkan Hamas, membebaskan tebusan dan memastikan Gaza tidak akan lagi menjadi ‘pusat keganasan’.

Tentera Israel telah melaporkan 129 kematian di Gaza sejak ia melancarkan operasi darat pada akhir Oktober.

Israel menuduh Hamas bersembunyi dalam kalangan orang awam dan dalam terowong di bawah hospital, sekolah, masjid dan infrastruktur awam yang lain.

Tekanan global kini semakin meningkat terhadap Israel sama ada memperlahankan, menangguhkan atau menghentikan permusuhan agresif.