9 PENUMPANG PESAWAT RINGAN KING AIR 350 MAUT
MANILA, 3 Sept – Pihak berkuasa Filipina mengesahkan seramai sembilan orang terbunuh apabila sebuah pesawat ambulans udara terhempas di sebuah kawasan resort berhampiran ibu kota Filipina.
Video dramatik di media sosial menunjukkan kenderaan kecemasan bergegas ke arah sebuah bangunan terbakar di Calamba City ketika pihak berkuasa menggesa orang ramai menjauhi kawasan untuk keselamatan.
Selepas berjaya memadam kebakaran, penyelamat menemui sembilan mayat dalam timbunan berasap, dipercayai penumpang yang menaiki pesawat ringan King Air 350.
“Tiada siapa terselamat dalam nahas ini. Kami merumuskan semua penumpang disahkan dalam pesawat meninggal dunia,” kata pegawai kecemasan tempatan, Jeffrey Rodriguez.
Polis berkata, dua penduduk di daratan cedera dalam nahas dan dikejarkan ke hospital namun tidak melaporkan sebarang kematian daripada penghuni kawasan resort apabila pesawat terjunam.
Pihak berkuasa penerbangan Filipina berkata, pesawat itu membawa seorang pesakit dan pasukan perubatan dari selatan negara itu ke ibu kota ini apabila ia hilang dari radar kira-kira 46-kilometer dari sini.
Kawasan di mana pesawat terhempas menempatkan beberapa resort yang dipenuhi pelancong ketika musim paling panas.
Sumber: Berita Harian