WhatsApp Image 2023-05-26 at 2.42.43 PM
Info SemasaUncategorized

676 terbunuh dalam pertempuran di Sudan – PBB

Khartoum: Sekurang-kurangnya 676 orang terbunuh akibat pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), menurut laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pada Ahad.

“Pertempuran antara tentera Sudan dan RSF berterusan selama 30 hari berturut-turut, terutamanya di dalam dan sekitar Khartoum, membunuh sekurang-kurangnya 676 orang dan mencederakan 5,576 orang,” menurut OCHA.

Menurut laporan Harian Metro, lebih 936,000 orang melarikan diri akibat konflik sejak 15 April, termasuk kira-kira kira-kira 200,000 mencari perlindungan di negara jiran.

Sejak pertempuran tercetus pada pertengahan April, penduduk Khartoum, ibu negara Sudan mengalami kekurangan makanan teruk, terutamanya selepas berpuluh-puluh kilang dirompak dan dibakar.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan kira-kira 15.8 juta rakyat Sudan, atau kira-kira satu pertiga penduduk Sudan, akan memerlukan bantuan kemanusiaan pada 2023 dan angka itu berkemungkinan meningkat akibat perang.

Pada 11 Mei, pihak bertelagah di Sudan menandatangani Deklarasi Komitmen untuk Melindungi Orang Awam Sudan di Jeddah, Arab Saudi untuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan kecemasan dan menjamin pemindahan selamat orang awam.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak menuduh satu sama lain melanggar perjanjian dan meneruskan pertempuran bersenjata.

Pada Ahad, Tentera Sudan menuduh RSF menembak penganut Kristian di sebuah gereja di kawasan Al-Masalma di bandar Omdurman.

Bagaimanapun, RSF menafikan bertanggungjawab atas kejadian itu dan menuduh tentera berada di belakangnya, menggesa siasatan bebas terhadap insiden itu.