Info SemasaKenyataan Media

6 ANGGOTA TENTERA MAUT PERTEMPURAN DI TIMUR AFGHANISTAN

KABUL, 10 Feb – Sekurang-kurangnya enam tentera Afghanistan dan dua tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh manakala enam tercedera dalam pertempuran di Timur Afghanistan, semalam.

Jurucakap Tentera AS di Afghanistan, Kolonel Sonny Leggett, berkata kejadian itu berlaku ketika satu operasi ketenteraan di Wilayah Nangarhar.

Bagaimanapun, pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan Afghanistan, memberitahu Reuters, punca sebenar kejadian masih belum dapat dikenal pasti.

Mereka masih menyiasat sama ada kejadian disebabkan konflik di antara tentera mereka dengan AS atau serangan oleh gerakan militan Islam.

Dalam perkembangan lain, anggota majlis di wilayah Nangarhar, Sohrab Qaderi, berkata anggota tentera Afghanistan menjalankan operasi di wilayah berkenaan sejak bulan lalu.

Sementara itu, tentera AS turut berada di wilayah sama untuk mempertahankan kawasan itu daripada serangan puak Taliban.

“Kemungkinan berlaku konflik di antara tentera Afghanistan dan AS ketika operasi dijalankan atau barangkali ia disebabkan kesilapan taktikal,” katanya.

Setakat ini, Afghanistan masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai jumlah kematian membabitkan tenteranya. 

Sumber: Berita Harian