Kenyataan Media

40 TERKORBAN DALAM SERANGAN UDARA DI SYRIA

AMMAN, 23 Jan – Russia melancarkan serangan udara yang mengorbankan sekurang-kurangnya 40 penduduk di barat laut Syria.

Serangan yang dibantu oleh militan Iran itu bertujuan menghapuskan pemberontak yang mengakibatkan puluhan ribu pelarian menyeberangi sempadan Turki, kata penduduk dan petugas penyelamat.

Dalam insiden berdarah itu, lapan keluarga termasuk enam kanak-kanak terbunuh dalam serangan di pedalaman Kfar Taal, barat Aleppo, manakala sembilan nyawa lagi terkorban di Maardabseh, tenggara wilayah Idlib.

Gencatan senjata di antara Turki dan Russia berakhir kira-kira 10 hari lalu apabila Moscow melakukan serangan ke atas penduduk awam.

Serangan terbaru ini membawa kempen ketenteraan Presiden Syria, Bashar al-Assad semakin hampir kepada wilayah tengah Idlib yang menempatkan kira-kira tiga juta penduduk.

Bagaimanapun, Moscow dan Damascus menafikan tuduhan melakukan pengeboman ke atas penduduk dengan mengaitkannya sebagai jihad ke atas kumpulan militan yang memulakan serangan ke atas penduduk di bandar Aleppo.

Sejak Disember lalu, 22 penduduk terkorban dalam serangan oleh Russia dan kerajaan Syria berikutan kempen ketenteraan Rusia dan disusuli oleh militan Iran.

Menurut kenyataan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, krisis kemanusiaan di wilayah Idlib mengakibatkan lebih daripada 350,000 penduduk menjadi pelarian dengan sebahagian daripada jutaan mereka menyelamatkan diri di kem berhampiran sempadan Turki.