Screenshot 2024-07-17 155538
Info Semasa

3 serangan Israel dalam kurang sejam ragut 48 nyawa

Agensi Pertahanan Awam di Semenanjung Gaza dikendalikan yang Hamas mendakwa tiga serangan udara dalam tempoh kurang sejam semalam, termasuk di sebuah sekolah, mengorbankan 48 penduduk Palestin.

Israel pula mendakwa mereka hanya melakukan dua serangan, yang menurut Agensi Pertahanan Awam, turut menyebabkan berpuluh-puluh lagi cedera, lapor Berita Harian.

Menurut angka terkini, seramai 25 orang maut di Sekolah Al-Razi yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, kata pengarah agensi itu, Mohammed al-Mughir, kepada AFP.

Katanya, sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan 25 cedera di Al-Mawasi berhampiran bandar selatan Khan Younis.

“Lima orang terbunuh dalam serangan ke atas orang ramai yang berada berhampiran bulatan trafik di Beit Lahia di utara Gaza,” katanya.

Sementara itu, tentera Israel berkata ‘pengganas’ menggunakan sekolah di Nuseirat untuk melancarkan serangan ke atas tenteranya dan seorang komander Hamas menjadi sasaran serangan di daerah Al-Attar Al-Mawasi.

Sekurang-kurangnya tujuh sekolah, kebanyakannya diuruskan oleh PBB, kini menjadi sasaran serangan Israel dalam tempoh 10 hari.

Kebanyakan sekolah di Gaza kini menjadi tempat perlindungan bagi beribu-ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal sejak perang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.

Ketua Pengarah Hospital Gaza, Mohammed Zaqut, berkata tentera Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di kawasan Al-Mawasi, walaupun sebelum ini kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai zon selamat.

“Mereka melakukan pengeboman dan menyerang dengan peluru berpandu kecil, menyebabkan berpuluh-puluh orang awam terbunuh dan ramai tercedera kerana kawasan berkenaan padat dengan penduduk,” katanya.

Tentera Israel mendakwa pihak mereka telah meneliti laporan yang menyatakan bahawa beberapa orang awam cedera akibat serangan di Khan Younis dan menyatakan butiran terhadap perkara terbabit masih dalam semakan.

“Selepas serangan terbaru itu, banyak langkah telah diambil untuk mengurangkan risiko mencederakan orang awam, termasuk penggunaan pengawasan udara, peluru tepat dan tambahan perisikan.

“Hamas secara sistematik melanggar undang-undang antarabangsa dengan memperalatkan bangunan awam dan orang ramai sebagai perisai ketika melancarkan serangan,” katanya.

PBB berkata serangan Israel berlaku berhampiran pusat operasi bersamanya di Deir el-Balah, dari mana ia menyelaraskan tindak balas bantuan kemanusiaan di Gaza.

Dalam sembilan bulan perang, 70 peratus sekolah Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Gaza kini telah dibom dan 539 orang yang berlindung di dalam premisnya terbunuh.

Sekurang-kurangnya 38,713 orang terbunuh dan 89,166 cedera dalam perang Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Angka kematian di Israel akibat serangan pimpinan Hamas pada 7 Oktober dianggarkan 1,139, dan berpuluh-puluh orang masih ditahan di Gaza.