Info SemasaKenyataan Media

200,000 RAKYAT PALESTIN PERLU BANTUAN KESIHATAN – WHO

KAHERAH: Palestin berdepan keperluan kesihatan mendesak selepas pertempuran 11 hari antara rejim zionis Israel dan Hamas, bulan lalu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Agensi itu dalam satu kenyataan berkata, sekurang-kurangnya 200,000 rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang diduduki (OPT) merangkumi Tebing Barat memerlukan bantuan kesihatan segera.

Wakil WHO di Mediterranean Timur, Rik Peeperkor berkata, situasi di negara itu tidak menentu dan WHO tetap prihatin mahukan akses kesihatan tanpa had ke Gaza.

“Kita menuntut akses tanpa had ke Gaza untuk menyalurkan bekalan serta kakitangan penting berkaitan kemanusiaan dan pembangunan ke Gaza serta rujukan supaya pesakit yang kritikal dibawa keluar dari Gaza untuk rawatan.

“Lebih 77,000 orang hilang tempat tinggal dan kira-kira 30 fasiliti kesihatan juga musnah,” katanya dalam kenyataan itu.

Serangan rejim Israel terhadap bumi Palestin selama 11 hari yang berakhir dengan gencatan senjata 21 Mei lalu membunuh 254 penduduk Palestin termasuk 66 kanak-kanak.

Sejak menceroboh Palestin, Israel mula menyekat laluan laut Gaza pada 2007, sekali gus menyukarkan kehidupan sekitar dua juta rakyat Palestin di wilayah itu.

Hanya laluan menerusi Rafah menjadi penghubung dunia luar yang tidak dikuasai Israel.

“Kehidupan rakyat Palestin semakin sukar, banyak yang terkesan dengan konflik itu dan amat memerlukan bantuan serta menghadapi ancaman kesihatan lain seperti wabak COVID-19,” kata Peeperkorn.

Pada 31 Mei lalu, agensi kesihatan itu juga sebelum ini mengesahkan sebanyak 337,191 kes positif COVID-19 di OPT dan 3,765 kematian dilaporkan, malah peningkatan kes berlaku di Gaza dalam tempoh beberapa minggu.

WHO sebelum ini merayu bantuan sekitar AS$7 juta (RM28.8 juta) untuk membiayai bantuan kesihatan di Palestin namun hanya memperoleh AS$2.3 juta (RM9.49 juta). 

Sumber: Berita Harian