WhatsApp Image 2023-07-13 at 1.51.19 PM
Info Semasa

13 kanak-kanak korban wabak campak di kem pelarian Sudan

Khartoum: Sekurang-kurangnya 13 kanak-kanak maut dalam beberapa minggu ini dipercayai akibat penularan wabak campak di kem pemindahan daerah White Nile, Sudan, susulan konflik di negara itu, menurut pertubuhan perubatan antarabangsa pada Ahad.

“Keadaan sangat kritikal. Disyaki demam campak dan kurang nutrisi adalah dua masalah kesihatan paling mendesak,” kata pertubuhan Médecins Sans Frontière (MSF) cawangan Sudan atau Doktor Tanpa Sempadan.

Menerusi beberapa siri ciapan di Twitter, MSF Sudan berkata, daerah White Nile mencatat peningkatan bilangan mangsa melarikan diri daripada konflik yang sedang berlaku, lapor Harian Metro.

“Sembilan kem menempatkan ratusan ribu mangsa terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Bagi tempoh antara 6 Jun hingga 27 Jun, NGO itu sudah merawat 223 kanak-kanak yang disyaki dijangkiti demam campak di kem berkenaan, dengan 72 orang termasuk 13 yang maut dirawat di dua klinik sokongannya.

“Kami menerima kanak-kanak sakit disyaki demam campak hari-hari, kebanyakannya dengan komplikasi,” ciap MSF Sudan.

Katanya, pertubuhan menerima keseluruhan 3,145 pesakit di dua klinik pada Jun, dan terdapat keperluan untuk menambah bantuan seperti meluaskan khidmat vaksinasi, sokongan nutrisi, perlindungan, air dan sanitasi.

“Musim hujan menghampiri dan kita bimbang peningkatan penyakit bawaan air dan endemik malaria di kawasan ini,” kata MSF Sudan.

Data Organisasi Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan hampir 2.8 juta orang melarikan diri daripada konflik Sudan yang membabitkan pasukan bersenjata.

Sekurang-kurangnya 2,152,936 orang dianggarkan berpindah, manakala 644,861 lagi melarikan diri merentasi sempadan Sudan ke negara jiran, menurut laporan Matriks Penjejakan Anjakan IOM yang diterbitkan pada Selasa.