
10 tahun bangunkan semula Gaza
SHAH ALAM – Gaza dijangka memerlukan masa sehingga 10 tahun untuk dibangunkan semula sebagaimana keadaan sebelum perang dengan Israel yang bermula pada 7 Oktober 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bagaimanapun berkata, sekiranya kewangan tidak mencukupi dan pelbagai sekatan dikenakan termasuk membawa masuk bahan binaan, pembinaan semula wilayah itu akan mengambil masa yang jauh lebih lama.
“Pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang akan membantu pembinaan semula Gaza sangat baik. Saya percaya kerjasama dengan NGO (badan bukan kerajaan) perlu digembleng sejak daripada awal lagi bagi memastikannya berjaya dan kita tak buat kesilapan sama.
“Sebelum ini ada bantuan terhadap rakyat Palestin diserahkan atau diberikan kepada pihak yang belum mempunyai pengalaman dalam pengurusan.
“Kita mengharapkan di pihak kerajaan mengambil langkah-langkah konkrit untuk memastikan misi kali ini berjaya dan melibatkan semua pemegang taruh yang sepatutnya sejak daripada awal.
Beliau berkata demikian ketika ditanya rancangan Malaysia untuk membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza, Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembinaan semula itu akan dijalankan melalui kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Sementara itu, Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor pula berkata, pembangunan semula Gaza bergantung suasana politik serantau dan ia boleh dilakukan dengan cepat antara tiga ke lima tahun jika tiada sekatan perjalanan dikenakan serta sabotaj tentera upahan Israel.
“Sekarang ini saya lihat ia bergantung kepada usaha damai yang ditaja beberapa inisiatif antaranya oleh kerajaan Qatar dan usaha daripada kerajaan Malaysia.
“Saya fikir ia boleh dipercepatkan seandainya ketegasan yang diketuai oleh Perdana Menteri kita disambut oleh semua negara-negara Islam terutamanya OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sendiri yang telah membuat resolusi menghantar tentera pengaman,” jelasnya.
Kredit: Sinar Harian
https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/710033