02863e65-9982-488f-8376-2cca9a6856ef.jpg
Info Semasa

1 maut, 16 rakyat Palestin cedera diserang zionis Israel

GAZA: Seorang lelaki maut manakala 16 lagi cedera selepas sebuah rumah warga Palestin yang didakwa melakukan serangan maut di Tel Aviv, dibom tentera Israel ketika serbuan di Tebing Barat, kata saksi dan pegawai perubatan.

Saksi berkata, kenderaan tentera Israel memasuki bandar Jenin, Palestin dengan tembakan hebat dan bunyinya bergema hingga ke seberang jalan ketika pembesar suara menggesa penduduk untuk berdepan askar zionis.

Tentera Israel berkata, askarnya ditembak pasukan Palestin ketika operasi memusnahkan pangsapuri Raad Hazem yang menembak ke bar Tel Aviv, mengorbankan tiga warga Israel, pada 7 April lalu.

“Askar bertindak balas dengan kaedah menyuraikan rusuhan dan tembakan langsung,” kata tentera di Twitter.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, seorang lelaki maut dan 16 lagi cedera akibat tembakan Israel.

Israel meningkatkan pencerobohan di Tebing Barat, kebanyakannya di bandar kubu pejuang Jenin, selepas gelombang serangan jalanan Palestin yang membawa maut di Israel.

Katanya, kira-kira 100 rakyat Palestin maut dalam kejadian itu, termasuk militan, orang awam, dan pihak yang mengambil bahagian dalam pertempuran dengan tentera Israel.

“IDF (Pasukan Pertahanan Israel) dengan ketara meningkatkan aktiviti memerangi keganasan bertujuan mencegah serangan pengganas. Sebagai sebahagian daripada operasi itu, kira-kira 1,500 individu dikehendaki ditahan dan ratusan serangan dihalang,” kata ketua tentera Israel, Aviv Kohavi dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar Palestin mengecam serbuan itu.

“Kita melihat peningkatan sistematik Israel dengan kebimbangan serius dan kami akan membawa jenayah ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB,” katanya.

Tentera Israel semalam, menerbitkan kesimpulan akhir mengenai pembunuhan wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh pada Mei lalu, menjelaskan dia mungkin ditembak secara tidak sengaja oleh seorang askar Israel.

Abu Akleh, warganegara AS-Palestin, ditembak mati pada 11 Mei lalu, ketika membuat liputan serbuan Israel di Jenin dengan keadaan itu masih dipertikaikan. Pembunuhannya mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Sumber: BH