KEMENANGAN DONALD TRUMP: IMPLIKASI TERHADAP PALESTIN, NORMALISASI ISRAEL, DAN MASA DEPAN DUNIA ISLAM
Serantau Muslim (SM) memandang serius kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang baru sahaja diumumkan. Pengalaman dari penggal pertamanya menunjukkan Trump memihak sepenuhnya kepada agenda Israel tanpa mengambil kira hak-hak rakyat Palestin. Dengan kembalinya beliau ke White House, terdapat kebimbangan besar bahawa agenda normalisasi Israel di dunia Islam akan diperhebat, dan tekanan politik serta ekonomi ke atas negara-negara Islam akan terus meningkat.
Pada September 2023, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam ucapan di Persidangan Agung PBB, menyatakan visinya untuk membentuk sebuah βNew Middle Eastβ di mana Israel diiktiraf oleh negara-negara Islam. Arab Saudi, yang menempatkan dua tanah suci umat Islam, dilihat berpotensi menjadi negara seterusnya yang akan menormalisasi hubungan dengan Israel. Sekiranya ini berlaku, ia bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan Israel, tetapi juga melemahkan sokongan antarabangsa terhadap Palestin yang selama ini mendapat dukungan dari negara-negara Islam.
Peristiwa 7 Oktober 2023 di Gaza, yang menyaksikan puluhan ribu rakyat Palestin terkorban dan mencetuskan kebangkitan solidariti global, jelas memperlihatkan sokongan dunia kepada Palestin. Namun, dengan kemenangan Trump, ada kebimbangan besar bahawa momentum kebangkitan ini akan terhenti akibat tekanan normalisasi yang lebih agresif dari pihak Amerika Syarikat. Strategi ekonomi Trump, termasuk penggunaan pengaruh dolar AS dalam perdagangan minyak, dijangka akan terus mendesak negara-negara kaya minyak di Timur Tengah untuk menerima Israel sebagai sekutu demi menjaga hubungan dengan Amerika Syarikat.
Serantau Muslim menyeru seluruh umat Islam untuk memperkukuhkan perpaduan dan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin. Palestin bukan sekadar isu politik; ia adalah isu keadilan, kemanusiaan, dan amanah yang Allah SWT berikan kepada kita. Firman Allah dalam Surah Al-Maidah, ayat 51 mengingatkan: βWahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman rapat (yang dipercayai)β¦β Ayat ini menyeru kita berhati-hati dalam membina hubungan yang boleh merugikan hak dan maruah umat Islam.
Kemenangan Trump ini bukan sekadar cabaran, tetapi satu panggilan untuk kita bersatu dan mendidik generasi muda mengenai tanggungjawab mereka terhadap Palestin. Marilah kita semua berpegang kepada tali Allah, menghindari perpecahan, dan bersama-sama mempertahankan hak-hak rakyat Palestin demi masa depan yang lebih adil dan bermaruah untuk dunia Islam.
KAPTEN BERSEKUTU (PA) USTAZ MOHD HAKIM BIN HAJI MOHD NOR
Pengerusi, Serantau Muslim
7 November 2024