Info SemasaKenyataan Media

DESAS DESUS INDONESIA-ISRAEL JALIN HUBUNGAN

BERITA tentang Indonesia akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sudah kedengaran sejak pemerintahan bekas Presiden keempat Indonesia iaitu Abdulrrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur.

Kini, berita itu kembali kedengaran menerusi media-media di Israel baru-baru ini.

Indonesia menjadi antara negara yang dikatakan bakal menjalin hubungan diplomatik dengan negara Yahudi tersebut selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain. Sudan, Maghribi dan Bhutan.

Pada Khamis lalu, Maghribi menjadi negara keempat Liga Arab mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel selepas UAE, Bahrain dan Sudan.

Dua buah negara Liga Arab iaitu Mesir telah menandatangani perjanjian damai dengan negara Yahudi itu pada tahun 1979 manakala Jordan pada tahun 1994.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi perantara kepada UAE, Bahrain dan Sudan untuk menormalkan hubungan dengan Israel sebelum penggal pemerintahannya berakhir pada 20 Januari tahun depan.

Dalam pada itu, pada Sabtu lalu pula, Bhutan menjadi negara bukan Arab yang bersetuju menjalin hubungan dengan Israel.

Menurut agensi berita AFP, Bhutan merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk kurang daripada sejuta orang dan terletak berjiran dengan Tibet dan India.

Duta Bhutan dan Duta Israel menandatangani perjanjian menormalkan hubungan dengan rejim Tel Aviv di New Delhi, India itu bagi meneroka kerjasama kemungkinan dalam bidang ekonomi, teknologi dan pembangunan pertanian.

Bagaimanapun, terdapat berita yang sekali lagi didedahkan media-media Israel baru-baru ini bahawa Indonesia dan Oman akan menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Zionis.

Oman yang juga anggota Liga Arab juga dilaporkan mengalu-alukan hubungan diplomatik antara Maghribi dengan Israel diwujudkan.

Sebenarnya, desas-desus Jakarta akan mewujudkan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv telah tersebar sejak Gus Dur memerintah Indonesia dari tahun 1999 hingga 2001.

Gur Dur ketika menjadi Presiden Indonesia pernah menyatakan sudah tiba masanya negaranya menjalin hubungan dengan Israel.

Menurut bekas jurucakap pengasas Partai Kebangkitan Bangsa itu, Yahya Chalil Tsaquf seperti dilaporkan portal IDN Times pada Ogos lalu, melalui hubungan tersebut Indonesia boleh terlibat secara lebih aktif untuk mengakhiri konflik Israel dengan Palestin.

Namun, beliau menyatakan ramai penduduk Islam ketika itu yang sanggup menuduh Gus Dur sebagai Yahudi hanya kerana beliau membuat cadangan tersebut.

Bahkan, terdapat tentangan hubungan itu diwujudkan oleh kelompok dalam pergerakan Islam yang mempunyai ramai pengikut di negara tersebut dan pernah dipimpin oleh Gus Dur iaitu Nahdlatul Ulama (NU).

Penentangan tersebut menunjukkan isu penindasan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin amat dekat di hati penduduk Islam di Indonesia sehingga mereka membenci tindakan Israel tersebut yang sehingga kini masih berlaku.

Malah, Menteri Luar negara itu, Retno Lestari Priansari Marsudi Retno Lestari pernah menyatakan pada Julai lalu bahawa Indonesia merupakan negara pertama menyuarakan bantahan terhadap rancangan Israel untuk meluaskan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Bagaimanapun, seorang ahli ekonomi Indonesia di Pusat Pembaharuan Ekonomi (CORE), Rendy Manilet dilaporkan berkata kepada portal berita detikcom baru-baru ini bahawa Indonesia boleh memanfaatkan Israel sebagai pasaran bukan tradisionalnya jika hubungan tersebut diwujudkan.

Ini kerana seperti kata Rendy, pendapatan perkapita Israel pernah mencatatkan sehingga AS$42,000 (RM170,352) yang menunjukkan rakyatnya mempunyai daya pembelian kuat terhadap pelbagai produk di pasaran.

Media-media Indonesia turut mengupas isu tersebut sama ada wajar Indonesia menjalin hubungan dengan Israel melalui kenyataan daripada Yahaya, Rendy dan beberapa ahli politik lain.

Setakat ini, Israel dan Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik secara formal.

Namun, menurut portal berita CNBC Indonesia baru-baru ini, kedua-dua negara telah bekerjasama dalam bidang perdagangan dan pelancongan.

Menurut portal berita itu, Jakarta telah membeli senjata dari Israel pada tahun 1970-an dan 1980-an.

Bekas Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin dilaporkan pernah bertemu dengan bekas Presiden Indonesia Soeharto di Jakarta, menurut CNBC Indonesia.

Bagaimanapun, ketika desas-desus hubungan diplomatik akan dijalin dengan Israel, Kementerian Luar Indonesia baru-baru ini tetap bertegas dengan dasarnya tidak akan menjalin hubungan dengan Tel Aviv.

Indonesia tetap utuh dengan dasarnya memperjuangkan nasib penduduk Palestin.

Seperti kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah yang dilaporkan portal CNNIndonesia.com., negaranya akan tetap menyokong penduduk Palestin.

Dalam isu ini, Serantau Muslim berharap Indonesia terus berpegang pada kata-kata untuk membela Islam dan tidak melakukan perkara yang boleh memberi ketegangan kepada pihak yang semakin disakiti.

Sumber: Sinar Harian