Info SemasaKenyataan Media

CHINA ‘BIARKAN TAHANAN DIBUNUH’ UNTUK KEGIATAN PEMERDAGANGAN ORGAN

BEIJING: Terdapat beberapa adegan dalam siri drama Netflix, Squid Game menunjukkan bagaimana organ-organ milik peserta yang maut diambil untuk dijual dalam pasaran gelap.

Di sebalik cerita tersebut, situasi lebih kurang sama turut berlaku di China apabila pihak berkuasa negara ini  didakwa mengeluarkan buah pinggang, jantung, hati dan kornea mata dari 100,000 banduan termasuk tahanan politik setiap tahun secara paksa.

Malah, sejumlah kumpulan hak asasi manusia mendakwa kerajaan China sendiri menguruskan ‘rangkaian pemerdagangan organ secara besar-besaran’.

Komuniti antarabangsa juga mengetahui akan hal tersebut, namun seolah-olah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang.

Hal ini kerana, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) didakwa ‘menerima bulat-bulat’ semua data hospital yang diberikan China tanpa sebarang persoalan.

Seminggu sebelum Squid Game ditayangkan, Beijing berkeras menafikan ‘penajaan program pemerdagangan organ’ selepas Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mandakwa negara ini menahan pihak tertentu berdasarkan ‘etnik, agama dan kekayaan’.

SIASATAN PBB

Seramai sembilan wakil khas PBB dari Majis Hak Asasi Manusia menghabiskan masa selama setahun mengumpul testimoni daripada sejumlah saksi berhubung kegiatan pemerdagangan organ di China.

“Pakar hak asasi manusia PBB amat bimbang dengan beberapa laporan yang mendakwa berlaku pemerdagangan organ melibatkan penduduk dari etnik Uighur, Tibet, beragama Islam dan Kristian, serta banduan yang ditahan dalam penjara.

“Mereka mempunyai maklumat kukuh yang menunjukkan kemungkinan tahanan dipaksa melakukan ujian darah serta pemeriksaan organ tanpa kebenaran mereka,” menurut laporan PBB.

Antara organ yang sering diambil termasuk jantung, buah pinggang, hati dan kornea mata.

PENGLIBATAN PROFESIONAL

Laporan itu secara tidak langsung menunjukkan kemungkinan penglibatan golongan petugas perubatan profesional dalam kegiatan pemerdagangan organ di negara ini.

Pasukan beruniform seperti polis juga didakwa memberi perlindungan kepada petugas perubatan yang terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut.

“Sejumlah tahanan turut menerima ancaman bunuh dan diugut organ mereka akan diambil sekiranya mereka enggan bekerjasama dengan polis.

“Tidak cukup dengan itu, penerima organ juga boleh menempah masa serta lokasi untuk menjalani pembedahan pemindahan organ,” jelas laporan tersebut.

BUNUH UNTUK ORGAN

Menerusi sistem perubatan, pesakit yang memerlukan pemindahan organ perlu menunggu sekiranya terdapat organ bersesuaian daripada penderma.

Doktor pula tidak boleh menganggarkan bila penderma organ akan mati dan situasi itu menjadikan golongan berkenaan terlalu terdesak untuk mendapatkan organ secepat mungkin.

Namun, perkara itu bukan lagi masalah besar apabila golongan tersebut kini boleh mendapatkan organ yang diingini pada bila-bila masa menerusi sistem ‘bunuh untuk organ’.

BEKALAN ORGAN SENTIASA ADA

Berdasarkan siasatan bebas oleh organisasi yang dinamakan China Tribunal, beberapa hospital di China menerima bekalan organ setiap bulan.

Pengarah Eksekutif Pakatan Pencegahan Pemerdagangan Organ Antarabangsa, Susie Hughes berkata, China menyerahkan data kepada WHO yang menunjukkan hospital di negara ini hanya melakukan kira-kira 10,000 hingga 20,000 pemindahan organ setiap tahun.

“Namun, jumlah sebenar adalah lebih tinggi iaitu antara 60,000 hingga 100,000 pemindahan organ setiap tahun.

“Kesemua data itu diperoleh berdasarkan pemeriksaan keuntungan hospital, jumlah pasukan bedah dan juga penggunaan katil pesakit,” ujarnya.

PENGALAMAN TAHANAN

Seorang tahanan Uighur, Zumuret Dawut berkata, dia dibawa ke hospital untuk melakukan pemeriksaan organ tanpa pengetahuannya kerana kepalanya ditutup dengan kain hitam.

“Saya hanya tahu saya berada di hospital selepas kain penutup kepala ditanggalkan dan mendapati ramai doktor melakukan pemeriksaan terhadap saya.

“Mereka mengambil sampel darah dan melakukan imbasan sinar X untuk melihat organ dalaman saya,” jelasnya.

Seorang lagi tahanan, Yu Xinhui memberitahu, dia dimaklumkan sendiri oleh doktor penjara mengenai pengambilan organ secara paksa.

Katanya, doktor tersebut memberitahunya supaya mematuhi semua arahan yang diberikan supaya tidak menjadi ‘calon penderma organ’.

BEIJING NAFI

Sementara itu, Beijing menyifatkan laporan PBB sebagai melampau dan tidak berasas.

Kerajaan China mendakwa laporan itu sengaja dibuat dan diubah dengan mengupah ‘pelakon’. 

Sumber: Utusan