AS LANTIK ANGGOTA JAWATANKUASA UNTUK RAMPAS TEBING BARAT
WASHINGTON, 17 Feb – Amerika Syarikat (AS) melantik anggota jawatankuasa yang ditugaskan untuk memetakan kawasan di Tebing Barat yang akan dirampas oleh Israel sebagai sebahagian daripada pelan damai berat sebelah, Deal of the Century diumumkan Presiden Donald Trump pada 28 Januari lalu.
Akhbar Israel Hayom memetik kenyataan pegawai kanan pentadbiran Trump melaporkan, Duta AS ke Israel, David Friedman akan memimpin jawatankuasa bersama tersebut.
“Saya berbesar hati untuk menyertai jawatankuasa bersama tersebut. Saya tidak sabar untuk memulakan proses itu,” kata Friedman dengan angkuh.
Antara individu lain yang akan terlibat termasuk penasihat kanan Friedman, Aryeh Lightstone dan pakar Majlis Keselamatan Negara AS ke atas Israel, Scott Leith.
Sementara itu, anggota di pihak Israel yang akan terlibat adalah Menteri Pelancongan, Yariv Levin dan Duta Israel ke AS, Ron Dermer.
Difahamkan, jawatankuasa tersebut dimaklumkan Trump pada bulan lalu ketika beliau mengumumkan pelan kontroversi itu yang akan memberi kawalan secara meluas kepada Israel untuk menguasai Tebing Barat, sekali gus melanggar hak asasi penduduk Palestin.
Menurut bilionair hartanah tersebut, jawatankuasa bersama itu akan menukar peta konsepsi kepada peta lebih terperinci kononnya supaya pengiktirafan boleh dicapai dengan segera.
Sehingga kini, tiada tarikh akhir ditetapkan bagi jawatankuasa tersebut untuk menyelesaikan rancangan jahat tersebut.
Tetapi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menerima tekanan ahli Parlimen haluan kanan sejak beberapa minggu lalu untuk mengumumkan langkah rampasan ke atas Tebing Barat tersebut sebelum Pilihan Raya Umum pada 2 Mac depan.
Kelmarin, puak di Palestin menyelar tindakan pemimpin Palestin yang menyertai mesyuarat anjuran Parlimen Aman Israel terdiri daripada pelbagai wakil parti politik dan anggota Knesset di Tel Aviv pada Jumaat lalu.
Seramai 20 bekas anggota Pihak Berkuasa Palestin (PA) terlibat dalam mesyuarat tersebut di bawah sepanduk ‘ya untuk keamanan’, ‘tidak kepada langkah rampasan’ dan ‘dua negara untuk dua orang’.
Gerakan Hamas dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan mereka sebagai satu tamparan kepada kesemua penduduk Palestin yang menolak pelan damai Trump tersebut.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata, pertemuan itu sebagai satu bentuk ‘normalisasi’ dengan entiti Zionis yang sememangnya ditentang penduduk Palestin.
“Tindakan mereka melemahkan gerakan solidariti dengan penduduk Palestin,” tegasnya yang turut mengkritik PA kerana membenarkan mesyuarat seperti itu diadakan walaupun Palestin telah memutuskan segala hubungan dengan Israel.
Sumber: Sinar Harian