ARAB SAUDI TEMPELAK ISRAEL
MANAMA: Arab Saudi tampil dengan nada tegas dalam sesi forum keselamatan Dialog Manama apabila menempelak Israel yang dilihat sengaja melambat-lambatkan proses rundingan damai dengan Palestin.
Riyadh yang diwakili Putera Turki bin Faisal, dalam ucapannya, membandingkan persepsi Israel yang kononnya memperjuangkan keamanan dengan keadaan hakikat sebenar kesengsaraan dihadapi penduduk Palestin sekian lama.
“Israel menggambarkan dirinya sebagai ‘negara kecil yang terancam’ kerana dikelilingi ‘pembunuh’ yang mahu melenyapkan kewujudannya tetapi pada hakikatnya, ia adalah ‘proksi penjajah Barat’.
“Israel memenjarakan penduduk Palestin dalam kem tahanan tanpa mengira usia, lelaki atau perempuan dan mereka meringuk dalam ‘neraka dunia’ itu tanpa mendapat keadilan yang sepatutnya.
“Regim zionis yang mempunyai sejarah membawa kemusnahan, penindasan dan pengusiran penduduk Palestin ini sekarang mahu menjalin hubungan dengan Arab Saudi pula, yang tidak mungkin berlaku,” katanya.
Ucapan lantang Putera Turki itu mendapat perhatian Menteri Luar Israel, Gabi Ashkenazi, yang turut menghadiri dialog terbabit.
Israel sebelum ini beranggapan delegasinya akan menerima ‘layanan mesra’ selepas rejim itu menjalin hubungan diplomatik dengan Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di bawah perjanjian yang dipelopori Amerika Syarikat (AS).
Putera Turki juga sekali lagi menegaskan pendirian Arab Saudi untuk menjadi orang tengah dalam proses rundingan damai Israel-Palestin menerusi Inisiatif Damai Arab yang dimeterai pada 2002.
“Ini adalah jalan keluar terbaik kerana kita tidak boleh pulihkan ‘luka yang parah dengan hanya menggunakan ubat tahan sakit’, kita kena buat lebih daripada itu,” tegasnya.
Sumber: Berita Harian