Angka kematian akibat gempa bumi Maghribi cecah 2,122
AMIZMIZ, Maghribi – Sekurang-kurangnya 2,122 orang terbunuh manakala 2,421 cedera akibat gempa bumi kuat melanda Maghribi pada Jumaat, menurut kemas kini Kementerian Dalam Negeri Maghribi pada Ahad.
Sinar Harian memetik laporan Xinhua menyatakan sebanyak 1,351 orang dilaporkan terbunuh di Wilayah Al Haouz, 492 di Wilayah Taroudant, 201 di Chichaoua, dan 17 di Marrakesh, menurut kenyataan kementerian itu.
Pada awal hari itu, penduduk Marrakesh memaklumkan bahawa gegaran susulan masih boleh dirasai.
Menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bencana itu telah menjejaskan lebih 300,000 orang di bandar lama purba itu dan kawasan sekitar.
Jumlah korban dijangka meningkat.
Bulan Sabit Merah Maghribi (MRC) memaklumkan bahawa situasi di lapangan menimbulkan cabaran besar kepada usaha mencari dan menyelamat, dan “penggunaan jentera berat ke kawasan terpencil di Pergunungan Atlas untuk membantu dengan itu menjadi keutamaan.”
Gempa bumi melanda Maghribi pada Jumaat sekitar 11:11 malam waktu tempatan (2211 GMT) pada kedalaman 18.5 km, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat.