Screenshot 2024-05-28 161324
Uncategorized @ms

Amnesty gesa ICC segerakan siasatan 3 serangan maut Israel

Amnesty International (Amnesty) menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) segera menyiasat tiga serangan Israel yang membunuh 44 orang awam Palestin, termasuk 32 kanak-kanak baru-baru ini, sebagai jenayah perang.

Minggu lalu, pendakwa ICC, karim Khan, memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pemimpin tertinggi Hamas kerana disyaki melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan, lapor Berita Harian.

Pengarah kanan Amnesty, Erika Guevara-Rosas, berkata tiga serangan iaitu satu di kem pelarian al-Maghazi di tengah Gaza pada 16 April dan dua di Rafah, selatan Gaza pada 19 dan 20 April adalah bukti mengenai corak jenayah perang lebih meluas yang dilakukan oleh Israel.

“Kes didokumenkan di sini menggambarkan corak serangan yang jelas sejak tujuh bulan lalu, di mana tentera Israel melanggar undang-undang antarabangsa, membunuh orang awam Palestin dan menunjukkan sikap tidak menghiraukan nyawa manusia,” katanya.

Pertubuhan hak asasi manusia itu menjalankan penyiasatan sendiri terhadap serangan dan menemubual 17 mangsa yang terselamat serta saksi selain melawat mangsa yang cedera di hospital.

Menerusi siasatan itu, ia mendapati pada 16 April, serangan udara Israel ke atas kem pelarian al-Maghazi membunuh 10 kanak-kanak berumur empat hingga 15 tahun dan lima lelaki, dengan lebih daripada sedozen penduduk cedera.

Di Rafah, dua serangan dalam dua hari membunuh 29 orang awam manakala pada 19 April pula, sebuah bom yang dilancarkan Israel memusnahkan rumah keluarga Abu Radwan di Rafah Barat, membunuh sembilan ahli keluarga termasuk enam kanak-kanak.

Pada 20 April, serangan memusnahkan rumah keluarga Abdelal di timur Rafah, membunuh 20 ahli keluarga termasuk 16 kanak-kanak.

Amnesty berkata, kerosakan pada rumah Abdelal adalah konsisten dengan serangan udara.

Dalam ketiga-tiga kes, Amnesty tidak menemui sebarang bukti bahawa terdapat sebarang sasaran tentera di dalam atau di sekitar lokasi yang disasarkan oleh tentera Israel.