77 maut hujan monsun di Pakistan
ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 77 orang maut akibat hujan monsun yang melanda Pakistan, kata menteri perubahan iklim negara itu hari ini dengan memberi amaran hujan lebat daripada biasa akan berlaku.
“Bagi saya, ia adalah tragedi negara,” kata Sherry Rehman pada sidang akhbar di ibu negara.
“Apabila orang mati seperti itu, ia bukan perkara kecil, ia hanya permulaan. Kita perlu bersedia untuk menghadapinya”.
Kebanyakan kematian adalah di wilayah barat daya Balochistan dengan 39 orang mati lemas atau terkena renjatan elektrik akibat talian elektrik yang terputus.
Musim tengkujuh yang biasanya berlaku dari Jun hingga September adalah penting untuk mengairi tanaman dan menambah tasik dan empangan di seluruh benua kecil India, tetapi setiap tahun juga membawa gelombang kemusnahan.
Kebanyakan rumah usang di seluruh Pakistan, terutama di kawasan luar bandar terdedah kepada runtuhan akibat banjir yang turut memusnahkan kawasan besar ladang utama.
Banjir terburuk yang pernah berlaku adalah pada 2010 meliputi hampir perlima daripada kawasan daratan negara, mengorbankan hampir 2,000 orang dan 20 juta lagi kehilangan tempat tinggal.
Pakistan adalah negara kelapan paling terdedah kepada cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim, menurut indeks Risiko Iklim Global yang disusun oleh badan bukan kerajaan alam sekitar Germanwatch.
“Suatu hari anda mengalami kemarau dan pagi esok anda menjangkakan banjir kilat, jadi anda boleh melihat betapa seriusnya keadaan di Pakistan,” kata Rehman.
Sumber: Berita Harian