Info SemasaKenyataan Media

6 MAUT AKIBAT BANJIR DI THAILAND, 70,000 RUMAH TENGGELAM

BANGKOK: Pihak berkuasa bergegas cuba mencegah banjir di kawasan tertentu di Bangkok selepas enam terkorban dan 70,000 buah rumah ditenggelami air di wilayah utara dan tengah Thailand.

Menurut Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand, Ribut Tropika Dianmu mengakibatkan banjir di 30 wilayah, dengan kawasan sekitar Bangkok paling teruk terjejas.

Paras air Sungai Chao Phraya, yang merentasi Bangkok selepas jajaran lebih 400 kilometer (km) dari utara, terus meningkat meskipun pihak berkuasa melepaskan air empangan di hilir sungai.

Hari ini, pihak tentera membina penghadang dan menyusun guni pasir bagi melindungi runtuhan lama di tapak arkeologi dan mercu tanda utama di ibu kota diraja lama, Ayutthaya, kira-kira 60 km ke utara Bangkok.

Pihak berkuasa berharap tragedi musim monsun 2011 yang menyaksikan Bangkok mengalami banjir terburuk dalam tempoh beberapa dekad apabila 20 peratus ibu kota itu tenggelam dan lebih 500 mangsa maut.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok berkata pihaknya sedang memantau rapi paras air Sungai Chao Phraya dan sudah menyediakan pam air serta guni pasir.

Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang, berkata pihaknya akan memberi amaran jika paras air naik atau wujud risiko berlaku banjir kilat.

Pihak berkuasa Bangkok sudah mula mengatus beg pasir di luar bank dan premis perniagaan lain dekat sebuah terusan di Thonglor, kawasan perumahan dan pusat beli belah popular bagi warga ekspatriat.

Kawasan yang pernah digelar ‘Venice Timur’ itu dibina selepas menambak kawasan paya dan berada kira-kira 1.5 meter di atas paras laut.

Sebelum ini, ladang pertanian dan sawah padi di kawasan rendah dapat menyalurkan keluar air berlebihan akibat banjir tetapi kini kawasan berkenaan sudah dibangunkan menjadi hartanah untu kediaman atau perniagaan.

Sementara itu, pelan induk kerajaan bagi pencegahan banjir merangkumi empangan bawah tanah dan terowong tidak dapat dibina berikutan kesukaran mengambil alih tanah.

Sejak hujung minggu lalu, pasukan kecemasan melakukan beberapa operasi menyelamat mangsa dari bumbung rumah di perkampungan sekitar wilayah Chaiyaphum.

Sumber: Berita Harian