Info SemasaKenyataan Media

50 MAUT DALAM PERTEMPURAN DI YAMAN

DUBAI: Sekurang-kurangnya 50 orang pemberontak dan tentera pro kerajaan, termasuk seorang pegawai kanan terbunuh dalam pertempuran di wilayah tengah Yaman, Al-Bayda, semalam.

Sumber tentera memberitahu AFP, mangsa termasuk seorang kolonel dan 19 penyokong setia yang terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak Huthi di kawasan terbabit.

“50 pemberontak juga maut dalam pertempuran serta serangan udara itu,” kata sumber rasmi tentera kerajaan.

Kumpulan Huthi jarang mengesahkan kematian tetapi jumlah itu disahkan oleh sumber kementerian lain.

Sejak beberapa minggu lalu, pemberontak yang disokong Iran maju ke Al-Bayda, malah mereka juga bertempur untuk menguasai Marib di utara negeri itu.

Sejak Februari lalu lagi, Huthi meningkatkan usaha untuk merampas Marib, yang menjadi wilayah terakhir di utara dan pertempuran menyaksikan ratusan orang terbunuh di kedua-dua pihak.

Penguasaan wilayah yang kaya dengan sumber minyak itu akan memperkuatkan kedudukan Huthi dalam rundingan damai.

Bagaimanapun, pertempuran itu membangkitkan kebimbangan mengenai malapetaka manusia kerana ramai rakyat Yaman sudah meninggal negeri itu untuk ke lokasi lain.

Konflik di Yaman bermula pada 2014 apabila Huthi menawan ibu negara, Sana’a, sehingga mendorong campur tangan pimpinan Arab Saudi untuk mengiktiraf kerajaan itu pada tahun berikutnya.

Sejak itu, puluhan ribu sudah terbunuh manakala jutaan lagi berada di ambang kebuluran, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan terburuk.

Diplomat Sweden, Hans Grundberg, yang juga wakil khas baharu PBB di Yaman, tiba di Riyadh semalam untuk menemui pegawai negara itu dan Arab Saudi, lawatan pertama beliau sejak memulakan tugas awal bulan ni.

Ketika PBB dan Washington mendesak perang ditamatkan, Huthi pula menuntut pembukaan lapangan terbang Sana’a, yang dikenakan sekatan Arab Saudi sejak 2016 lagi, sebelum gencatan senjata atau rundingan.

Sumber: Berita Harian