WhatsApp Image 2023-11-13 at 10.20.33 AM
Info Semasa

5 bayi pramatang, 7 pesakit meninggal dunia di hospital di Gaza`

SEMENANJUNG GAZA: Lima bayi pramatang dan tujuh pesakit kritikal di Hospital al-Shifa di sini, meninggal dunia pada Ahad, akibat kekurangan bekalan bahan api, susulan pertempuran sengit di antara rejim zionis dan Hamas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Youssef Abu Rish, mengakui khuatir jumlah berkenaan akan meningkat menjelang selepas 24 jam, lapor Berita Harian.

Sementara itu, rejim Zionis dilapor melancarkan serangan berhampiran hospital terbesar di Gaza itu, menyebabkan ribuan orang ramai terperangkap.

Rejim Zionis menafikan sengaja menyasarkan hospital, selain mendakwa Hamas menggunakan kemudahan perubatan atau terowong di bawahnya sebagai tempat persembunyian tetapi tuduhan itu dinafikan kumpulan pejuang berkenaan.

Kebimbangan warga Palestin yang mencari perlindungan dan pesakit memerlukan rawatan semakin meningkat apabila hospital Al-Quds tidak beroperasi akibat kekurangan bahan api, kata Bulan Sabit Merah Palestin.

Berdasarakan agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 20 daripada 36 hospital di Gaza ‘tidak lagi berfungsi’.

Ketika pertempuran memuncak, kira-kira 800 warga asing dan beberapa rakyat Palestin yang cedera, dipindahkan dari Semenanjung Gaza ke Mesir pada Ahad, kata seorang pegawai sempadan Gaza (Sumber AFP).

Rafah satu-satunya sempadan Gaza yang tidak dikawal Israel dan sudah ditutup pada Jumaat dan Sabtu.

Hamas, menafikan enggan menerima 300 liter bahan api untuk kegunaan perubatan di Hospital al-Shifa di Gaza, dari Israel (Sumber: Reuters).

Hamas dalam kenyataan menyifatkan, tawaran itu memperkecil penderitaan pesakit yang terperangkap di dalam hospital tanpa bekalan minuman, makanan mahupun elektrik.

Katanya, jumlah diesel yang ditawarkan tidak mencukupi untuk mengendalikan generator hospital bagi tempoh lebih 30 minit.

“Hamas tiada kaitan dengan pengurusan Hospital al-Shifa. (Hospital al-Shifa) tertakluk sepenuhnya kepada pihak berkuasa Kementerian Kesihatan Palestin,” katanya.