Info SemasaKenyataan Media

45 JUTA PENDUDUK DUNIA BERDEPAN KEBULURAN – PBB

ROM: Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mendedahkan , jumlah penduduk yang berdepan kebuluran di 43 negara meningkat kepada 45 juta orang.

Jumlah itu meningkat dari 42 juta pada awal tahun ini selepas dianggarkan tiga juta orang lagi berdepan kebuluran di Afghanistan akibat pergolakan politik di negara tersebut.

Ketua Pengarah WFP, David Beasley berkata, beberapa faktor termasuk konflik, perubahan iklim dan Covid-19 menyebabkan jumlah penduduk dunia berdepan kebuluran semakin tinggi.

“Data terkini menunjukkan lebih 45 juta orang ‘bertungkus-lumus meneruskan kehidupan akibat kebuluran’.

“Harga minyak naik, harga makanan naik, baja tanaman mahal dan semua masalah ini sedang berlaku di Afghanistan ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Beasley menyatakan dana yang diperlukan untuk mengurangkan kebuluran dunia dianggarkan sebanyak AS$7 bilion (RM29 bilion).

Katanya, keluarga yang berdepan kebuluran terdesak membuat pilihan yang tidak sewajarnya, termasuk menjual anak, mengahwinkan anak pada usia awal atau menghentikan persekolahan mereka. 

Sumber; Utusan