Screenshot 2024-08-29 161317
Info Semasa

24 penduduk hilang akibat banjir di Yaman

Sekurang-kurangnya 24 penduduk hilang, manakala beberapa kediaman musnah dalam insiden banjir akibat hujan lebat di Yaman, sejak Selasa.

Berdasarkan laporan media milik Huthi, banjir berlaku di Al-Mahwit, iaitu sebuah wilayah di barat ibu kota Sanaa yang dikawal oleh kumpulan pejuang disokong Iran itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan polis, keadaan banjir itu menyebabkan tanah runtuh melanda beberapa kediaman.

“Sekurang-kurangnya 24 orang hilang selepas tujuh rumah musnah di daerah Melhan wilayah itu,” katanya.

Walaupun pihak berkuasa belum mengeluarkan angka korban, namun terdapat penyebaran gambar di media sosial yang menunjukkan terdapat mayat dibaluti selimut di kawasan banjir.

Pergunungan Yaman barat terdedah kepada hujan lebat secara bermusim.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), banjir kilat mengorbankan 60 penduduk dan menjejaskan 268,000 yang lain sejak akhir Julai lalu.

PBB turut memberikan amaran mengenai ancaman lebih buruk pada masa akan datang di wilayah barat dan tengah.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberikan amaran Isnin lalu bahawa peningkatan hujan diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Yaman, dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ia membabitkan di kawasan tanah tinggi, di bahagian tengah dan selatan selain di kawasan pantai Laut Merah dengan jangkaan jumlah hujan di paras luar biasa melebihi 300 milimeter (mm).

Sebelum ini, PBB memberi amaran bahawa $4.9 juta (RM21.27 juta) diperlukan segera untuk meningkatkan tindak balas kecemasan terhadap cuaca ekstrem di Yaman yang kini dilanda perang.

Perubahan iklim meningkatkan kekerapan hujan lebat bermusim di tanah tinggi Yaman, yang kebanyakannya dikawal Huthi.