2 kenderaan UNICEF ditembak di Gaza
Dua kenderaan milik Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ditembak di Semenanjung Gaza pada Selasa.
Pengarah Serantau UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Adele Khodr, berkata dua kenderaan UNICEF yang jelas ditanda dengan lambang pertubuhan itu ditembak peluru hidup semalam, lapor Berita Harian memetik laporan Agensi Anadolu.
“Ketika itu, mereka menanti di tempat yang ditetapkan berhampiran pusat pemeriksaan Wadi Gaza.
“Kenderaan terbabit dalam perjalanan untuk menyatukan semula lima kanak-kanak, termasuk seorang bayi dengan bapa mereka,” katanya di platform X.
Tambah beliau, salah satu daripada kenderaan itu terkena tiga tembakan tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
“Pasukan berjaya meneruskan misi dan menghantar kanak-kanak itu dengan selamat,” kata pegawai PBB itu.