WhatsApp Image 2023-09-05 at 11.27.30 AM
Info Semasa

16 penduduk Palestin cedera bertempur dengan tentera Israel

RAMALLAH: Sekurang-kurangnya 16 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Utusan Malaysia yang memetik laporan Xinhua menyatakan bahawa perkara itu disahkan oleh beberapa sumber keselamatan dan perubatan Palestin.

Menurut Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya sembilan penduduk Palestin cedera akibat tindakan tentera Israel yang ditempatkan di pagar timur yang memisahkan Gaza dan Israel.

Sumber keselamatan Palestin berpangkalan di Gaza memaklumkan puluhan belia mengadakan demonstrasi di bahagian timur Gaza menentang pasukan tentera Israel disebabkan isu pelanggaran berterusan di Tebing Barat.

Berdasarkan laporan media, penunjuk perasaan membakar tayar kereta dan membaling batu ke arah tentera yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan dan gas pemedih mata terhadap golongan itu untuk menyuraikan mereka.

Semalam, sekurang-kurangnya tujuh penduduk Palestin cedera semasa pertempuran yang meletus di kampung Kafr Qaddum di Tebing Barat.

Pasukan tentera Israel melepaskan gas pemedih mata dan peluru logam sehingga mengakibatkan hampir tujuh orang cedera.

Rabu lalu, kumpulan aktivis Palestin memaklumkan akan meneruskan perarakan menentang Israel di sempadan timur Gaza.

Perarakan dikenali sebagai Marches of Return, dilancarkan pada 2018 oleh penduduk Palestin yang menuntut golongan pelarian dikembalikan ke bandar asal mereka dan menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Semenanjung sejak 2007.