10 terbunuh akibat Siklon Batsirai
Antananarivo: Sekurang-kurangnya 10 penduduk terbunuh, manakala hampir 48,000 lagi hilang tempat tinggal selepas Siklon Batsirai melanda Madagascar, kata agensi pengurusan bencana negara pada Ahad.
Ia menyebabkan bencana di negara pulau dekat Lautan Hindi berkenaan.
Akibatnya, pokok tumbang dan ia turut memusnahkan bangunan dan menerbangkan bumbung rumah penduduk, lapor wartawan AFP yang menjadi saksi kejadian.
Siklon itu melanda lewat Sabtu sebagai “taufan tropika yang kuat” dan membawa angin berkelajuan 165 kilometer sejam, lapor Faly Aritiana Fabien dari agensi pengurusan bencana negara itu memberitahu AFP.
Bagaimanapun pejabat meteorologi negara pada Ahad memaklumkan bahawa Siklon Batsirai sudah mulai lemah.
Ombak laut tinggi pula menghakis bukit berpasir yang menjadi sebahagian daripada tanah perkuburan hingga mengeluarkan mayat dari kubur di bandar timur di pesisir pantai, Mahanoro.
“Kehidupan seharian sudah sangat sukar. Keluarga akan dipaksa untuk mengebumikan semula mayat dalam kubur sementara sehingga mereka mengumpul wang yang cukup untuk melakukan pengebumian dengan sempurna,” kata seorang penduduk.
Sumber: Harian Metro