WhatsApp Image 2024-11-27 at 7.23.10 PM
Uncategorized @ms

SERANTAU MUSLIM SARAN TINGKATKAN PENYELARASAN KERAJAAN-NGO HADAPI BANJIR

Kenyataan Media Serantau Muslim
27 November 2024 / 25 Jamadilawal 1446H

Serantau Muslim memandang serius situasi banjir yang sedang melanda beberapa negeri di Malaysia dengan peningkatan aras air di tahap bahaya di banyak lokasi.

Serantau Muslim mengiktiraf usaha penyelarasan yang telah dilaksanakan di peringkat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa agensi termasuk kerajaan negeri dalam meningkatkan persiapan terutamanya di pusat penempatan sementara (PPS), selain usaha-usaha menebat banjir. Namun, tahap komunikasi dan penyelarasan dengan NGO dan komuniti masih rendah dan memerlukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan kelemahan dalam menguruskan bantuan daripada orang ramai.

Pengalaman menangani bencana banjir sebelum ini telah membuktikan kepentingan peranan NGO dalam menyokong usaha kerajaan membantu mangsa banjir. Namun, sehingga kini masih belum wujud satu mekanisme kerjasama rasmi antara kerajaan dan NGO di peringkat nasional dalam menghadapi bencana.

Menyedari hakikat ini, Serantau Muslim menyarankan agar kerajaan mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi pertemuan khusus dengan NGO-NGO bantuan bencana bagi membentuk rangka kerjasama strategik yang lebih teratur dan berkesan.

Kerjasama ini seharusnya meliputi penubuhan jawatankuasa penyelarasan tetap antara kerajaan dan NGO yang dapat bertindak sebagai platform rasmi untuk koordinasi bantuan. Selain itu, penetapan protokol dan prosedur operasi standard bersama amat penting bagi memastikan kelancaran operasi bantuan. Aspek perkongsian maklumat dan data secara berterusan juga perlu diberi keutamaan untuk membolehkan kedua-dua pihak membuat perancangan dan tindakan yang lebih efektif.

Dalam konteks ini, pembahagian peranan dan tanggungjawab yang jelas antara agensi kerajaan dan NGO perlu digariskan dengan teliti. Program latihan dan persediaan bersama sebelum musim banjir juga perlu dilaksanakan secara berkala untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bantuan bencana.

Serantau Muslim percaya pendekatan kolaboratif ini akan dapat mengelakkan pertindihan bantuan, memaksimumkan penggunaan sumber, dan yang paling penting – memastikan bantuan sampai kepada mangsa banjir dengan lebih cepat dan efisien.

DR. MUHAMAD AZRIN OMAR
Timbalan Pengerusi
Serantau Muslim