2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

TENTERA AS ‘SOROK’ SERANGAN 2019 BUNUH PULUHAN ORANG AWAM SYRIA

MOSCOW: Tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa menyembunyikan serangan yang membunuh puluhan orang awam dalam peperangan Baghuz di Syria pada 2019 ketika menentang Daesh.

Tragedi pada 18 Mac 2019 itu menyebabkan 80 orang terbunuh dalam serangan udara atas arahan Task Force 9, sebuah unit operasi khas rahsia AS yang bertanggungjawab mengendalikan operasi lapangan di Syria.

Selepas petugas Pusat Operasi Gabungan Udara AS melihat serangan terbabit menerusi rakaman langsung dron, seorang petugas perisikan Tentera Udara menghubungi peguam Tentera Udara.

Peguam berkenaan kemudian merujuk perkara itu kepada penyelianya, dengan memaklumkan bahawa siasatan bebas sedang dijalankan.

Berdasarkan laporan The New York Times (NYT) semalam, siasatan terhadap kes berkenaan tidak pernah dijalankan, sebaliknya tentera AS cuba menyembunyikan serangan terbabit.

Lebih malang lagi, semua maklumat merujuk kepada tragedi di Baghuz itu disunting untuk dikeluarkan daripada laporan diterbitkan Pejabat Ketua Jabatan Pertahanan yang mengendalikan proses siasatan pembunuhan itu.

Minggu ini, NYT menghantar penemuannya kepada Pusat Kawalan AS, yang buat pertama kalinya meneliti dan memperakui serangan udara di Syria itu, tetapi menyifatkan pembunuhan 80 orang adalah ‘korban perang’ wajar.

Katanya, bom yang dilepaskan ketika serangan itu membunuh 16 militan Daesh dan empat orang awam.

Mengulas mengenai 60 lagi mangsa yang terkorban dalam serangan sama, kenyataan itu berpendirian latar belakang mereka yang terbunuh tidak jelas kerana ada kalanya wanita dan kanak-kanak dalam pergerakan Daesh turut bersenjata.

Ketua jurucakap bahagian kawalan tentera AS, Kapten Bill Urban, menyuarakan rasa kesal dengan kes yang menyaksikan nyawa terkorban dan berjanji akan mengambil usaha bagi menanganinya.

“Dalam kes ini, kita membuat laporan sendiri dan melakukan penyiasatan terhadap serangan berkenaan bersandarkan bukti kami serta bertanggungjawab penuh terhadap mereka yang secara tidak langsung terkorban,” katanya.

Satu-satunya penilaian selepas serangan itu dilakukan oleh unit lapangan sama yang mengarahkan serangan terbabit.

Operasi pengeboman itu didapati dibuat mengikut undang-undang kerana ia hanya mengorbankan sebilangan kecil orang awam awam, tatkala menyasarkan pejuang Daesh bagi melindungi pasukan gabungan, kata pusat kawalan.

Sehubungan itu, katanya, makluman jenayah perang secara rasmi, siasatan jenayah atau tindakan disiplin adalah tidak diperlukan, selain menambah bahawa kematian lain adalah tidak disengajakan.

Sumber: Berita Harian