2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

TAKTIK LICIK MACAU SCAM HANTUI MASYARAKAT

 

GEORGETOWN, 1 OGOS – Ramai anggota masyarakat dihantui dengan panggilan Macau Scam sejak dahulu lagi.

 

Terbaru, seorang wanita warga emas menjadi mangsa kepada Macau Scam.

 

Warga emas terbabit terperangkap dengan helah sindiket Macau Scam mengalami kerugian RM179,890 dalam kejadian pada 12 Julai lalu.

 

Mangsa berusia 69 tahun yang juga seorang pesara kerajaan itu dikatakan mendapat panggilan mendakwa beliau terbabit dengan kegiatan judi haram dalam talian dan perlu membuat bayaran untuk menggugurkan kesnya.

 

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, memaklumkan mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya seorang pegawai polis, yang memaklumkan wanita itu terbabit dengan judi haram dalam talian di Kuala Lumpur.

 

“Mangsa yang dulu bekerja sebagai kerani sekolah, menafikan terbabit dalam kegiatan itu, namun lelaki itu menggugut sekiranya tidak memberi kerjasama, mangsa akan ditahan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Anbalagan berkata, lelaki itu kemudian meminta mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberi dan jika tidak berbuat demikian, Bank Negara akan menyekat akaun bank miliknya.

 

“Disebabkan takut, tanpa usul periksa mangsa memindahkan wang simpanan miliknya ke dalam akaun yang diarahkan sebelum menyedari dirinya terperangkap dengan sindiket penipuan,” katanya.

 

Anbalagan berkata, mangsa yang juga seorang janda kehabisan semua simpanannya ekoran penipuan itu dan hadir membuat laporan bagi meminta polis melakukan siasatan untuk menahan suspek.

 

“Polis sekali lagi menasihatkan orang awam supaya tidak sesekali mempercayai panggilan yang diterima dan meminta membuat pengesahan terlebih dulu supaya tidak menjadi mangsa,” katanya yang turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

Sumber: Berita Harian