2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

SUU KYI DAKWA GAMBIA BERI KENYATAAN SALAH MENGENAI MYANMAR

THE HAGUE: Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi mendakwa kes yang dibawa ke atas negaranya di Mahkamah Dunia sebagai ‘tidak lengkap dan mengelirukan’, ketika memulakan pembelaan susulan tuduhan genosid terhadap minoriti Muslim Rohingya semalam.

Gambia, sebuah negara kecil di Afrika Barat memfailkan kes ke atas Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), iaitu institusi kehakiman tertinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan mendakwa, negara itu mencabuli Konvesyen Genosid 1948.

Bertindak mengetuai delegasi Myanmar ke ICJ, Suu Kyi yang juga pemimpin tertinggi negaranya dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan bagaimanapun mengakui bahawa pihak tentera mungkin menggunakan kekerasan, namun pada masa sama menegaskan, keadaan di Rakhine amat kompleks dan sukar ditangani.

“Gambia memberikan gambaran tidak tepat dan mengelirukan mengenai situasi semasa di negeri Rakhine di Myanmar,” katanya.

Lebih daripada 730,000 penduduk Rohingya di Myanmar melarikan diri selepas operasi ketenteraan di barat Rakhine bermula Ogos 2017.

Hampir semua pendatang itu kini tinggal di penempatan pelarian yang terlalu padat di Bangladesh.

Myanmar sebelum ini berkata, ‘operasi pembersihan’ ketenteraan di Rakhine adalah reaksi wajar dalam membanteras aktiviti keganasan dan semua anggota mereka mengambil tindakan yang sepatutnya.

Suu Kyi pada sidang di The Hague Selasa lalu dilihat tidak mempamerkan sebarang reaksi ketika peguam Gambia memperincikan testimoni penuh grafik berhubung penderitaan etnik Rohingya di tangan tentera Myanmar.

Sekeping foto Suu Kyi bersama tiga jeneral tentera yang juga menteri kabinet Myanmar dan sedang tersenyum, Leftenan Jeneral Ye Aung, Leftenan Jeneral Sein Win serta Leftenan Jeneral Kyaw Swe turut dipamerkan di mahkamah oleh pasukan perundangan Gambia sebagai bahan bukti.

Sepanjang tiga hari sesi pendengaran minggu ini, barisan hakim mendengar fasa pertama kes iaitu permohonan Gambia untuk pendekatan perlindungan yang bersamaan dengan perintah larangan ke atas Myanmar, bagi melindungi populasi etnik Rohingya sehingga kes terbabit didengar sepenuhnya. – Reuters

SUMBER : BERITA HARIAN